Ahad, 24 Februari 2019 | 12:49am
Yun Tong memulakan acara menggaul 'yee sang' sempena meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama tetamu pada majlis rumah terbuka di restoran miliknya, Rasa Malaysia Cuisine di Ginza, Tokyo.

Usahawan kelahiran Kedah teruskan tradisi rumah terbuka di Tokyo

TOKYO: Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina turut dirasai di sini apabila lebih 200 rakyat Malaysia dan Jepun menghadiri majlis rumah terbuka anjuran seorang usahawan kelahiran Kedah di restoran miliknya, semalam.

Datuk Seri Tam Yun Tong yang menetap di Jepun sejak lebih 30 tahun lalu, meneruskan tradisi tahunan mengadakan rumah terbuka atas semangat Malaysia di restorannya, Rasa Malaysia Cuisine di Ginza.

Beliau berkata, sejak restorannya beroperasi pada 1999, makanan Malaysia dengan pelbagai menu halal semakin dikenali dalam kalangan rakyat Jepun dan warga asing, termasuk Muslim.

Malah, katanya, restoran beliau menjadi pilihan rakyat Malaysia meliputi golongan kenamaan dari tanah air, termasuk Perdana Menteri, untuk merasai masakan tempatan apabila berkunjung ke sini.

“Kami menawarkan 63 menu makanan halal, termasuk pencuci mulut, menggunakan resipi dan bahan masakan asli seperti rempah-ratus, serta dimasak oleh cef berpengalaman dari tanah air.


Hui Chin (dua dari kiri) bersama tetamu pada majlis rumah terbuka di Rasa Malaysia Cuisine di Ginza, Tokyo.

“Antara menu menjadi pilihan ialah asam laksa, nasi lemak, nasi ayam, pencuci mulut seperti bubur cha cha dan puding mangga, serta minuman teh tarik dan sirap bandung,” katanya ketika ditemui BH pada majlis itu.

Pada majlis itu, tetamu dijamu dengan pelbagai menu menarik, termasuk rendang ayam, sate, kuetiaw dan nasi goreng, selain kuih-muih seperti tart nanas serta kuih kapit.

Kemuncak sambutan, beliau bersama isteri, Datin Seri Ang Hui Chin, turut menyertai tetamu menggaul ‘yee sang’, iaitu salad ikan salmon, sebagai lambang kemakmuran.

391 dibaca
Berita Harian X