Selasa, 22 Januari 2019 | 8:46pm
Haslinda menyasar untuk menghasilkan pakaian Muslimah yang berkonsepkan modest. - NSTP/Nik Hariff Hassan
Antara koleksi pakaian Muslimah yang diilhamkan Haslinda. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Jenama Blancheur ke seantero dunia

APABILA disebut jenama pakaian Blancheur, pasti ramai menganggap ia adalah produk luar negara kerana perkataan itu adalah dari bahasa Perancis yang membawa erti suci.

Bagaimanapun, Blancheur sebenarnya adalah jenama pakaian yang diasaskan Datin Haslinda Abdul Rahim pada 2014, selepas menubuhkan HLIUEM Group Sdn Bhd.

Menurut Haslinda, minatnya yang tinggi terhadap bidang fesyen mendorong beliau meninggalkan kerjaya lamanya untuk memulakan perniagaan sendiri dalam usaha mencapai cita-cita mencipta jenama pakaian tersendiri.

“Pada 1996, saya memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan, namun oleh kerana saya lebih minat ke arah bidang fesyen, saya melanjutkan pelajaran peringkat diploma dalam Rekaan Fesyen pada 2012.

“Sejak mula menceburi bidang ini, saya sememangnya menyasar untuk menghasilkan pakaian Muslimah yang berkonsepkan modest, dengan menampilkan potongan moden dan tidak keterlaluan,” katanya.

Haslinda berkata, nama Blancheur tercetus apabila beliau mendapat ilham selepas mengikuti seminar pertunjukan fesyen yang diadakan di Paris, Perancis.

Namun, seperti usahawan lain, Haslinda turut mengakui perjalanannya membangunkan perniagaan penuh dengan cabaran yang perlu beliau hadapi.


Haslinda turut mempromosi jenama Blancheur di luar negara menerusi bantuan daripada MATRADE. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Blancheur menyasarkan pasaran pakaian premium. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Persepsi orang ramai

“Pada mulanya, jenama Blancheur kurang mendapat sambutan berikutan persepsi orang ramai terhadap pakaian Muslimah dan telekung.

“Pada ketika itu, mungkin ramai yang tidak faham bahawa jenama ini sebenarnya menghasilkan pakaian Muslimah dan telekung menggunakan bahan berkualiti tinggi, di samping menerapkan reka bentuk dan potongan lebih kemas serta tidak keterlaluan.

“Ini bagi memastikan pengguna berasa lebih selasa ketika memakainya untuk sembahyang,” katanya.

Bagaimanapun, Haslinda berkata, lama-kelamaan, jenama itu semakin mula diterima orang ramai, terutama apabila ia menerima tawaran untuk memperagakan koleksinya pada pertunjukan fesyen di peringkat antarabangsa.

Katanya, selain pasaran tempatan, beliau juga mempromosi jenama Blancheur di luar negara menerusi bantuan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Kami berpeluang memperagakan rekaan ke luar negara seperti di Nanjing, Shanghai, Paris, Dubai dan London yang mana ia terus menangkap perhatian dari pihak luar.

“Kami juga menerima tawaran untuk menjual produk ini di Shanghai, Singapura, dan London. Selain itu, Blancheur mendapat perhatian dari San Francisco Museum untuk menyertai Pameran Modest Fashion di situ pada tahun lalu,” katanya.

Disebabkan Blancheur menyasarkan pasaran pakaian premium, Haslinda seterusnya melancarkan produk terbaharunya iaitu Arjana untuk memenuhi permintaan orang ramai yang inginkan telekung berkualiti tinggi pada harga mampu milik.


Antara koleksi pakaian Muslimah yang diilhamkan Haslinda. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Jenama Arjana by Blancheur dilancarkan pada April tahun lalu. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Harga mampu milik

“Selepas beberapa tahun mengukuhkan kedudukan jenama Blancheur, saya terus menerima permintaan untuk menghasilkan telekung kualitinya lebih kurang sama dengan Blancheur, tapi pada harga yang mampu milik.

“Justeru, saya melancarkan jenama Arjana by Blancheur pada April tahun lalu untuk memenuhi permintaan ini,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Haslinda berkata, beliau menyasarkan untuk jenama Arjana terus berkembang di pasaran tempatan.

“Malah, kami pada masa ini sedang mencari ejen pengedar untuk meluaskan jenama ini di seluruh Malaysia,” katanya.

Berita Harian X