Rabu, 16 Januari 2019 | 4:04pm
Luqman memulakan perniagaan sendiri berkaitan kosmetik sebaik saja dia menamatkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

'Budak kejuruteraan' kini usahawan kosmetik berjaya

MEMULAKAN perniagaan di usia yang muda tanpa ada pengalaman selalunya agak berisiko, apatah lagi jika perniagaan yang dijalankan itu sesuatu yang di luar kepakarannya.

Namun berbekalkan semangat yang tinggi membuatkan Luqman Juhari, 27, tekad untuk memulakan perniagaan sendiri berkaitan kosmetik sebaik saja dia menamatkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan.

“Ramai yang pelik macam mana ‘budak’ kejuruteraan boleh terjerumus dalam bidang perniagaan. Bukan sebagai pekerja tetapi sebagai pengusaha.

“Pada mulanya memang saya akui, ia sesuatu yang baharu, di luar kepakaran saya apatah lagi memulakan perniagaan dalam bidang kosmetik, tetapi saya bernasib baik sebab rakan kongsi saya yang juga kakak, Dahlia Nadirah Juhari banyak membantu,” katanya.

Bersama dengan Dahlia, mereka berdua memulakan perniagaan kosmetik yang diberi nama SO.LEK pada 2016, dengan hanya satu produk.


Dahlia Nadirah Juhari. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Luqman berkata, mereka memulakan perniagaan itu dengan bantuan kewangan ibu bapa, selepas hampir setahun menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai kosmetik.

Katanya, semuanya bermula ketika mereka bercuti ke New York pada 2015 dan mereka mendapati kedai farmasi di sana banyak menjual produk kosmetik tempatan dengan harga yang murah dan berkualiti.

“Dari situ timbullah angan-angan dengan kakak saya untuk menjadi usahawan kosmetik. Ibu bapa juga menyokong penuh kerana mereka juga terbabit dalam dunia perniagaan.

“Bila balik Malaysia, kami terus buat R&D mengenai ilmu perniagaan, pembuatan kosmetik dan selok-belok yang perlu kita tahu jika ingin menjadi usahawan.

“Kami terpaksa belajar semula pelbagai jenis ilmu seperti ilmu kimia, biologi dan sebagainya sebab mahu memastikan setiap kandungan dalam kosmetik itu betul-betul menepati kehendak.

“Tidak mahu hanya sekadar buat perniagaan tetapi tiada ilmu, bila orang tanya kandungan kosmetik, kita tidak boleh nak bagi jawapan,” katanya.


Luqman (kiri) menyasarkan pruduk SO.LEK akan terbang ke pasaran antarabangsa pada suku kedua tahun ini. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Mengenai pengurusan pula, setiap mereka mempunyai peranan sendiri dengan Dahlia banyak terbabit dalam pemasaran dan penjenamaan sementara Luqman dalam operasi dan kewangan.

Seperti adik beradik yang lain, Luqman dan Dahlia juga sering kali berbeza pendapat tetapi mereka selalu bekerja rapat dan menganggap ia bagus dalam meningkatkan lagi perniagaan mereka.

Ini kerana katanya, jika ada perbezaan pendapat, mereka dapat banyak idea baru dan boleh menyesuaikannya dengan perniagaan mereka, tidak hanya bergerak lurus seperti pembaris.

“Kami melengkapi setiap kelemahan dan kelebihan masing-masing. Itu yang membuatkan SO.LEK mampu bertahan sehingga ke hari ini dan kami yakin akan berkembang dan menjadi antara jenama kosmetik utama,” katanya.

Bermula dengan hanya satu produk dan berbekalkan dana dari ibu bapa mereka, Luqman berkata langkah pertama mereka berjaya dan hanya dalam beberapa bulan saja, mereka mampu membayar semula dana yang dipinjamkan itu kepada ibu bapanya.


Antara produk SO.LEK. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Produk SO.LEK bakal tembusi pasaran global. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Antara produk SO.LEK. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Kini SO.LEK sudah boleh berbangga dengan kejayaan mereka yang sudah memiliki tujuh jenis produk kosmetik dengan lebih 50 unit simpanan stok (SKU) serta kebanyakan produk mereka mendapat sijil perakuan halal dari JAKIM.

Pemasaran produk mereka juga kini tidak hanya tertumpu di media sosial dan platform e-dagang saja kerana produk SO.LEK sudah mula memasuki farmasi dan kedai jualan terkemuka.

“Ini satu kejayaan kepada kami berjaya memasuki rangkaian farmasi dan kedai terpilih. Malah kami juga menyasarkan dapat memasuki lebih 100 rangkaian farmasi tahun ini.

“Juga SO.LEK bakal terbang ke pasaran antarabangsa dengan sasaran pada suku kedua nanti akan dijual di Kanada, Eropah dan Amerika Syarikat selain menumpukan kepada pasaran serantau di Singapura, Indonesia dan Brunei.

“Dengan beberapa perancangan ini, kami berharap dapat mencapai sasaran jualan bulanan sebanyak lima atau enam angka,” katanya.


Luqman dan Dahlia sering kali berbeza pendapat tetapi mereka selalu bekerja rapat dan menganggap ia bagus dalam meningkatkan lagi perniagaan mereka. - Ihsan IG Dahlia Nadirah

INFO

• Diasaskan oleh Luqman Juhari dan Dahlia Nadirah Juhari

• Mengambil tema dan nama Melayu klasik dalam setiap produk mereka

• Lebih 50 unit simpanan stok (SKU)

• Bakal memasuki pasaran Eropah dan Amerika Syarikat

Berita Harian X