Jumaat, 28 Disember 2018 | 11:52am
Koko Minda Food Industries (M) Sdn Bhd mendapat manfaat daripada projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

NFCP mampu bawa usahawan PKS keluar 'kepompong'

JASIN: Projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilaksanakan di daerah ini, mampu membawa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan desa keluar daripada 'kepompong' dan meneroka pasaran global yang lebih luas.

Pengurus Koko Minda Food Industries (M) Sdn Bhd (Koko Minda), Daing Muhamad Fadzil Abd Latif, berkata kemudahan NFCP, yang memfokuskan kepada penyediaan Internet berkelajuan tinggi, itu bakal menjadi platform untuk usahawan menjadi sebahagian daripada rantaian perdagangan dunia.

"Dengan adanya NFCP ini, kita percaya bukan Koko Minda sahaja, bahkan lebih ramai pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dapat menceburi bidang perniagaan menerusi e-dagang, selaras perkembangan terkini Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan teknologi digital.

"Dari segi impak, ia seiring dengan perkembangan yang diperlukan usahawan kerana kita bukan sahaja memasarkan produk di dalam negara, malah dalam pasaran antarabangsa yang memerlukan capaian Internet yang optimum kerana membabitkan hubungan komunikasi dua hala secara masa nyata," katanya kepada Bernama.

Pelaksanaan NCFP, yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar, menyasarkan pencapaian garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps.

Peranan utama untuk menjayakan pelan itu diamanahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diteraju menterinya, Gobind Singh Deo, yang ingin melihat kesalinghubungan Internet di Malaysia dapat dinikmati setiap orang di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Gobind dipetik sebagai berkata bahawa pada era digital ini, capaian terhadap Internet bukan lagi merupakan suatu kemewahan, bahkan suatu keperluan dan sebagai alat untuk menjamin kelangsungan hidup.

Pelan itu juga menetapkan sasaran untuk mewujudkan perkhidmatan Internet berkelajuan Gigabit di kawasan perindustraian berimpak tinggi dan strategik terpilih menjelang 2020 dan di semua ibu negeri menjelang 2023.

Daing Muhamad Fadzil berkata, komunikasi dua hala dengan pembekal dan pembeli berpotensi di luar negara sememangnya perlu menggunakan Internet berkelajuan tinggi, termasuk penyertaan dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) iaitu kemudahan dalam talian kepada peniaga-peniaga tempatan untuk menembusi pasaran China.

"Di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub, Serkam misalnya kita hanya mampu menggunakan Streamyx pada kelajuan lapan megabit sesaat (Mbps), sedangkan PKS memang tidak dapat lari dengan pemasaran dalam talian menggunakan laman sesawang e-marketplace serta aplikasi Instagram, Facebook dan Twitter.

"Selain itu, secara ‘offline’ pula kita melantik pengedar, stokis serta rangkaian toko jamu dalam dan luar negara untuk memasarkan produk kita di kawasan masing-masing, dan bagi menjimatkan kos, pertemuan secara tele-sidang dengan wakil produk memerlukan kemudahan NFCP itu," katanya.

Menurutnya, pengusaha PKS sememangnya sedar akan pentingnya usahawan desa dengan kemahiran e-dagang melalui program latihan bersepadu yang telah diaturkan di peringkat negeri dan daerah dalam memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

"Namun tiada makna sekiranya capaian Internet terlalu perlahan, yang mewujudkan halangan. Selagi kekangan itu tidak ditangani, kita tidak boleh pergi jauh. Misalnya di sini kemudahan seperti pusat digital, pusat Internet dan anjung Internet disediakan, namun tiada perkhidmatan Internet.

"Untuk melahirkan K-Ekonomi dan K-Workers (pekerja berpengetahuan) serta pengusaha PKS yang lebih berdaya saing, seiring dengan perkembangan teknologi semasa, negara perlu menyediakan fasiliti yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Daing Muhamad Fadzil berkata pendapatan kasar syarikat berkenaan pada tahun ini dijangkakan pada paras yang sama seperti tahun lalu iaitu sebanyak RM1.8 juta, namun pihaknya optimis dapat meningkatkannya daripada 10 peratus hingga 20 peratus berdasarkan perkembangan niaga 2019.

-BERNAMA

156 dibaca
Berita Harian X