Isnin, 24 Disember 2018 | 6:36pm
PENGASAS Castle Wallpaper & Interior Design (CWID), Dayang Masuri Ali. - Foto Aswadi Alias

Utamakan kepuasan pelanggan

• Syarikat: Castle Wallpaper & Interior Design (CWID)

• Perkhidmatan: Hiasan dalaman dan ubah suai rumah

• Pusat pameran: Sungai Buloh, Selangor

Menatarias kediaman peribadi, mahupun ruang komersial seperti pejabat mengikut tema yang diimpikan bukanlah perkara mudah untuk dizahirkan.

Ia memerlukan komitmen sepenuhnya membabitkan penyelidikan, rujukan dan kefahaman yang tinggi diiringi kesabaran serta ketabahan demi mencipta ruang dalaman yang memberi kepuasan kepada setiap pelanggan.

Penghias seni reka dalaman bukanlah mudah seperti yang disangka, lebih-lebih lagi bidang ini boleh dikatakan majoritinya didominasi oleh bukan Bumiputera.

Namun, dengan sokongan keluarga dan teman rapat, wanita gigih ini menyahut cabaran untuk memecah monopoli berkenaan dengan menubuhkan syarikat hiasan dalaman, Castle Wallpaper & Interior Design (CWID) pada 2014.

Bermula tanpa sebarang modal, Dayang Masuri Ali, 34, tidak menganggap ia sebagai halangan untuk membantu pelanggannya, menghidupkan semula ruang kediaman yang tampak suram dan tidak berseri.

“Saya bermula dengan hanya menjual kertas dinding pada 2010. Ketika itu, saya masih bekerja dengan sebuah syarikat hiasan dalaman. Daripada situ, timbul minat untuk deko ruang jadi lebih cantik.

“Mula-mula sekadar minat tetapi lama-lama saya lihat bidang ini ada potensi besar untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan.

“Hampir empat tahun saya turun naik rumah pelanggan bersama-sama buku material. Daripada orang tengok kita tiada apa-apa tetapi berkat kesabaran dan sokongan keluarga, akhirnya penantian itu berbaloi apabila hasil keuntungan kerja sebelum ini, saya mampu membuka ruang pameran sendiri,” katanya ditemui di Sungai Buloh, baru-baru ini.


TEMA moden kontemporari dan Inggeris sering menjadi pilihan pelanggan untuk menata rias ruang kediaman. - Foto Aswadi Alias

Meletakkan minat melebihi segala-galanya menjadikan setiap langkah wanita ini seolah-olah direstui apabila ada sahaja pelanggan yang datang kepadanya.

“Bila kita ‘transform’ sesebuah rumah jadi lebih cantik, lagi-lagi rumah itu rumah lama, kita jadi puas sangat.

“Tipulah kalau buat perniagaan tidak mahu untung. Tetapi saya meletakkan minat paling atas kerana pada saya kepuasan pelanggan itu paling penting,” katanya.

Lumrah setiap perniagaan pasti ada cabarannya. Dayang Masuri yang mesra disapa Sue berkata, tugas menata rias berkait rapat dengan idea atau komitmen kepada pelanggan.

Justeru, sesiapa sahaja yang datang mahukan idea atau pendapat mengenai hiasan dalaman, saya cuba lunaskan sebaik mungkin.

“Namun, bila kita cuba bagi yang terbaik, ada juga pelanggan yang datang ke galeri kami dan minta macam-macam idea. Akhirnya tidak bersetuju tetapi membawa lari hasil ‘sketch’ kami.


SUE berkongsi rancangan untuk membuka sebuah lagi ruang pameran di Kota Kemuning atau Bangi, Selangor. - Foto Aswadi Alias

“Tetapi saya anggap dugaan sekuat mana pun datang, kita cuba selesaikan. Setiap cabaran yang datang, kita kumpul kekuatan dan jadikan ia sebagai semangat untuk lebih berjaya,” katanya yang dibantu suami, Mohamad Fadhil Hisham Harun menguruskan operasi syarikat berkenaan.

Mengulas mengenai perkhidmatan yang disediakan, Sue berkata, CWID menawarkan pemasangan kertas dinding berkualiti tinggi, hiasan dalaman, ubah suai rumah dan perabot ‘custome made’ serta pemasangan langsir, manakala Mohamad Fadhil bertumpu kepada kerja bahagian kabinet.

“Boleh dikatakan CWID menawarkan semua dalam satu. Dengan bajet yang minimum pun, pelanggan masih lagi mampu dapat rumah impian mereka,” katanya.

Beliau berkata, untuk pemasangan langsir harga ditawarkan bermula daripada RM50 semeter, manakala kerja ubah suai rumah dan hiasan dalaman bermula daripada RM80 setiap kaki persegi.

“Bagi kerja dekorasi, ia memerlukan dua hingga empat minggu tempoh masa untuk disiapkan. Namun, ini bergantung kepada tema dan jenis perabot yang diminta oleh pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, tema moden kontemporari dan Inggeris sering menjadi pilihan pelanggan untuk menata rias ruang kediaman.

“Konsep Scandinavian juga kini semakin menjadi trend kerana cirinya yang lebih minimalis dan menggunakan tona yang lebih lembut,” katanya.

Berkongsi rancangan untuk meluaskan empayar CWID, Sue berkata, pihaknya dalam rancangan untuk membuka sebuah lagi ruang pameran di Kota Kemuning atau Bangi, Selangor.

“Insya-Allah kita masih dalam proses perbincangan dengan beberapa pihak dan jika semuanya selesai, kita akan beroperasi di cawangan kedua pada awal tahun depan,” katanya.


SUE bersama suami, Mohamad Fadhil Hisham Harun. - Foto Aswadi Alias

Berita Harian X