Sabtu, 15 Disember 2018 | 3:34pm
Norish bersama koresponden TV3 di London, Haliza Hashim. - Foto ihsan Norish Kareem

Norish Kareem buka butik kafe di London

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa pereka fesyen tempatan pernah mencuba nasib dan membuka butik di luar negara termasuk di London, kini giliran itu beralih kepada jenama fesyen Norish Kareem Couture (NKC).

Selepas hampir empat tahun mengukuhkan nama berkenaan, kini jenama yang diusahakan anak Malaysia berasal dari Kuantan Pahang dan dibesarkan di Kuala Lumpur turut membuka lembaran baharu dengan membuka butik kafe pula dilancarkan 1 Disember lalu di tengah kota London.

“Insya-Allah impian saya kini bukan sekadar cakap kosong. Ia berjaya direalisasikan. Terima kasih kepada keluarga, sanak saudara, teman media dan penggemar jenama NKC atas sokongan jitu selama ini.

“Tak saya lupakan pihak MATRADE atas segala galanya. Budi baik mereka takkan saya lupa sampai bila bila.

“Merancang semua ini sejak lima bulan lalu bukan proses mudah. Dari memilih lokasi strategik, memenuhi piawaian perniagaan di UK, proses pengubahsuaian, menentukan konsep dan rekaan butik hinggalah ke persiapan hari pembukaan dan pelancaran memberi kemanisan tersendiri,” kata Norish Kareem bangga pada majlis pelancaran butik kafenya itu di Central London W1, di tengah kawasan Marylebone.


Turut ditemubual wartawan dari Media Prima yang kebetulan mempunyai tugasan di London. - Foto ihsan Norish Kareem

Butik kafe Norish Kareem London yang sudah pun memulakan operasinya juga menyediakan ruang untuk pereka fesyen seluruh dunia untuk meletak dan menjual koleksi mereka.

Ia termasuk koleksi beg jenama Elevate Shine diusahakan Kiran Tuljaram Prakash yang juga rakyat Malaysia selain koleksi pereka fesyen dari negara lain.

Selain itu, Norish Kareem London turut membuka peluang pekerjaan kepada mereka untuk memenuhi jawatan pengurus butik dan barista sejak sebulan lalu.

“Saya harap semuanya akan dipermudahkan. Moga langkah berani saya ini akan terus konsisten ke hadapan.

“Ia bukan soal saya dan fesyen semata-mata, tapi dalam hati terbit rasa bangga kerana jenama tempatan dari Malaysia juga mampu mencuri perhatian orang luar negara,” kata Norish Kareem.

Tambah Norish Kareem, dia juga menggunakan khidmat orang Malaysia yang tinggal di London bagi butik kafenya.

“Saya guna khidmat jurubina daripada Bizarreka, UK dan kerja pembinaan pula dengan Prisma Facilities LTD,” katanya.

Butik kafe berkenaan turut menyediakan manisan seperti vegan pastri and kek.

Istimewanya pula Norish Kareem akan mengeluarkan jenama kopinya sendiri yang sepenuhnya diperbuat daripada England.

Sebelum ini jenama fesyen NKC pernah menyertai pelbagai pertunjukan fesyen antarabangsa seperti di Muslim Lifestyle di Olympia, London, Indonesia Muslim Fashion Week, DC Fashion Week di Washington, Runway Dubai di Emiriah Arab Bersatu, Minggu Fesyen New York 2017, Minggu Fesyen Paris, London Modest Fashion dan terkini Minggu Fesyen London 2018.

Malah koleksi pakaian NKC juga boleh didapati di Beverly Hills, Amerika Syarikat dan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

811 dibaca
Berita Harian X