Ahad, 2 Disember 2018 | 10:39pm
PENGARAH Eksekutif Sumisaujana TCM Chemicals Sdn Bhd (SSTCM), Norazlam Norbi. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
KAKITANGAN SSTCM di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
SSTCM ialah syarikat usaha sama di antara Sumisaujana Sdn Bhd dan TCM Chemicals Inc, syarikat yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Norazlam jual aset perluas perniagaan

• SSTCM - syarikat usaha sama di antara Sumisaujana Sdn Bhd dan TCM Chemicals Inc

• Mendapat pinjaman daripada SME Bank

• Lebih 80 peratus produk untuk pasaran eksport

PENGALAMAN bekerja selama 28 tahun dalam industri minyak dan gas dimanfaat sepenuhnya oleh Pengarah Eksekutif Sumisaujana TCM Chemicals Sdn Bhd (SSTCM), Norazlam Norbi dalam menceburi bidang perniagaan.

Beliau memulakan perniagaan dengan menjadi ejen dan pengedar eksklusif bagi produk TCM Chemicals dalam pasaran minyak dan gas di rantau Asia Pasifik.

Namun, kelembapan ekonomi sekitar 2008-2009 memberi cabaran kepada pendapatan syarikatnya memandangkan margin menjadi rendah.

Keadaan itu, bagaimanapun, menjadi pencetus kepada Norazlam bersama-sama rakan kongsinya untuk mengambil keputusan mengeluarkan sendiri produk kimia dan tambahan khusus untuk kegunaan industri minyak dan gas menerusi penubuhan SSTCM.

SSTCM ialah syarikat usaha sama di antara Sumisaujana Sdn Bhd dan TCM Chemicals Inc, syarikat yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS).

“Saya graduan Geologi dari Universiti Malaya. Saya memulakan kerjaya dalam industri minyak dan gas pada 1980 dan seluruh pengalaman kerjaya saya dalam industri minyak dan gas.


NORAZLAM (kanan) bersama kakitangan. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

“Selepas lama berkhidmat dalam bidang ini timbul minat untuk mencuba perniagaan sendiri. Saya mula dengan menjadi ejen dan pengedar eksklusif kepada produk TCM Chemicals,” katanya dalam satu temu bual di ibu pejabat SSTCM di Shah Alam, baru-baru ini.

Mengenai cabaran paling sukar dihadapinya sepanjang membangunkan perniagaan, Norazlam berkata, kesukaran mendapat dana ialah cabaran terbesar baginya.

Beliau bersama-sama rakan kongsinya terpaksa menjual aset peribadi untuk mendapatkan modal awal bagi memulakan perniagaan mengeluarkan produk kimia dan tambahan khusus bagi kegunaan industri minyak dan gas.

“Masalah untuk syarikat baharu yang ditubuhkan, lazimnya berkisar kepada kesukaran untuk mendapatkan akses dana. Ketika kami mula dulu, kami memerlukan sekitar RM16 juta.

“Sesungguhnya sukar untuk kami mendapatkan pembiayaan memandangkan kami tidak mempunyai rekod prestasi. Apa yang dilakukan ialah kami guna duit sendiri dengan menjual aset peribadi,” katanya.

Namun, Norazlam berkata, selepas setahun enam bulan SSTCM beroperasi, barulah pihaknya berjaya memperoleh pinjaman daripada SME Bank.


KILANG bahan kimia SSTCM di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

KAKITANGAN SSTCM di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau berkata, pihaknya juga turut mendapat bantuan daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dalam mengembangkan perniagaan.

“Sehingga hari ini, masalah dana masih menjadi cabaran kepada syarikat untuk terus berkembang. Bagaimanapun, cabaran ini tidak mematahkan semangat kami untuk terus mengembangkan syarikat.

“Apa yang penting, kami harus berfikiran positif untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Norazlam berkata, syarikatnya akan terus memberi tumpuan dalam pasaran eksport dan mempelbagaikan produk keluaran syarikatnya.

Beliau berkata, lebih 80 peratus produk keluaran SSTCM untuk pasaran eksport seperti ke Asia Pasifik, Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika.

Katanya, dalam keadaan pasaran semasa yang tidak menentu berikutan perang perdagangan antara AS dan China, pihaknya perlu cekap dalam melaksanakan strategi bagi memastikan syarikat terus maju pada masa depan.

“Bagi kami, kemampanan syarikat penting. Kami mahu terus maju dan mendapatkan lebih banyak produk ke dalam pasaran utama,” katanya.

Berita Harian X