Selasa, 13 November 2018 | 7:26pm
DATUK Seri Mohd Redzuan Md Yusof merasmikan Pusat Sehenti Keusahawan di Angsana Mall. - Foto Zain Ahmed

Wujud Dasar Keusahawanan Negara

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan mewujudkan Dasar Keusahawanan Negara sebagai pelan tindakan untuk dijadikan panduan kepada kegiatan keusahawanan, menjelang akhir bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata pelan tindakan itu akan menjadi buku panduan bukan saja untuk kementeriannya tetapi meliputi semua kementerian membabitkan kegiatan keusahawan.

Katanya, menerusi pelan itu, kementerian akan menjalankan skim Reach Out and Adopt (ROAD) bagi mendekati dan membimbing usahawan berpandukan kepada potensi dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka.

“Kita juga merancang mewujudkan Kongres Ekonomi Bumiputera setiap tahun mulai tahun depan bagi merumuskan pencapaian usahawan Bumiputera ke arah mencapai sumbangan keseluruhan usahawan kecil sebanyak lima peratus menjelang 2020.

“Konvensyen itu meliputi rumusan belanjawan, pencapaian dan kegagalan usahawan dari tahun ke tahun, kekurangan dalam kluster industri tertentu serta bentuk penambahbaikan yang boleh dilakukan pihak kementerian.

“Dari situ kita boleh mengukur sejauh mana matlamat bersasar akan tercapai,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera, di sini hari ini.

Konvensyen itu adalah siri ketujuh selepas diadakan di Sarawak, Kelantan, Sabah, Melaka, Kedah dan Selangor.

Mohd Redzuan berkata, menerusi konvensyen itu, pihaknya mendapat maklum balas berkaitan pelbagai persoalan dan cadangan dalam usaha merangsang kebangkitan usahawan untuk lebih berani meluaskan perniagaan mereka.

Sementara itu pada sidang media selepas merasmikan Pusat Sehenti Keusahawan di Angsana Mall, dekat sini, Mohd Redzuan berkata, Malaysia menjadi antara negara yang mempunyai kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang tertinggi di dunia dalam kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kalau sebut dua angka, itu bermakna 15, 16, 20 (peratus). Itu dah tinggi. Di negara lain, NPL mereka begitu rendah. Contohnya di China, saya difahamkan NPL mereka hanya dua peratus saja.

“Kenapa mereka boleh melakukan begitu? Mungkin mereka mengambil pembelajaran daripada model (ekosistem PKS) yang berjaya. Kita juga sedang berusaha mendekati dan cuba memahami,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, kadar NPL yang tinggi di Malaysia juga dapat dilihat menerusi jumlah pinjaman tidak berbayar kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang mencatatkan RM600 juta.

Katanya, antara faktor kegagalan perniagaan ialah pengusaha kurang memahami pasaran, permintaan, kos perniagaan dan kurang kreativiti, selain mengakui ramai yang gagal akibat suka meniru perniagaan orang lain.

398 dibaca
Berita Harian X