Ahad, 19 Ogos 2018 | 9:17pm

Dulu wartawan, kini urus spa


PENGURUS Hannan Medispa Wangsa maju, Nurul Huda Kosnon (empat dari kanan) bersama kakitangan di Hannan Medispa di Wangsa Maju. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Memang sukar untuk memilih antara minat dan cita-cita dalam menentukan kerjaya, apatah lagi jika membabitkan dua bidang yang sangat berbeza.

Walaupun berat hati, Nurul Huda Kosnon, terpaksa melepaskan kerjaya sebagai wartawan untuk terjun ke bidang kecantikan yang memang diminati sejak kecil.

Memiliki perwatakan ceria dan mudah didekati, peranan baharu sebagai Pengurus Hannan Medispa di cawangan Wangsa Maju, di sini, ternyata lebih mudah bagi wanita berusia 32 tahun ini untuk ditempuhi.


PENGURUS Hannan Medispa Wangsa maju, Nurul Huda Kosnon (tengah) dibantu kakitangannya melakukan rawatan menggunakan mesin Virtual gym di Hannan Medispa di Wangsa Maju. - Foto Aswadi Alias

Bagi Nurul Huda dunia penulisan dan kecantikan masing-masing mempunyai cabaran tersendiri, namun semakin mendalaminya membuatkan beliau semakin matang dalam menyusuri permasalahan yang mendatang.

“Dulu cabaran kerja sebagai wartawan pastinya bidang tugas yang tidak tentu masa, namun di Hannan Medispa tugas saya lebih mencabar kerana perlu berurusan dengan kerenah dan ragam pelanggan yang berbeza setiap hari.

“Apa pun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkerja kuat dan berazam mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi, malah saya bersyukur kerjaya sebelum ini banyak membantu saya dari segi promosi,” kata graduan dari Universiti Malaya itu.

Berasal dari Kuala Selangor, wanita berjiwa kental ini menggenggam erat prinsip kesenangan tidak datang bergolek.

Menguruskan Hannan Medispa sejak 2014, beliau sentiasa bekerjasama erat dengan kakitangan lain untuk tampil dengan idea dan pembaharuan agar pelanggan merasai kelainan dalam setiap jenis rawatan ditawarkan.

Nurul Huda berkata, melihat kepada industri kecantikan yang berkembang pesat, beliau semakin fokus menceburi bidang berkenaan demi membantu wanita di luar sana untuk tidak mudah putus asa dengan masalah kulit dihadapi dan tampil lebih yakin serta sihat.

Hannan Medispa berstatus spa kecantikan premium beroperasi sejak empat tahun lalu dengan mempunyai enam terapis kecantikan bertauliah, seorang doktor estetik serta dua pakar pemasaran dan promosi.

Guna produk canggih

Mengenai kelebihan Hannan Medispa, katanya pihaknya optimis menyediakan rawatan mengurang dan mencegah masalah kulit termasuk masalah jerawat, jeragat serta kegemukan dengan menggunakan produk serta teknologi canggih dari Amerika Syarikat, Australia dan Korea.

"Di sini, kami menggunakan rawatan 'Face Analyser' untuk mengenal pasti masalah pada kulit dan akan memberi rawatan khusus untuk merawat secara intensif.

“Keutamaan kami adalah mahukan pelanggan gembira dan puas hati dengan setiap rawatan dilakukan. Paling penting, ia mampu memenuhi kehendak pelanggan," katanya memaklumkan teknologi digunakan mampu mengesan saiz pori dan enzim yang menjadi punca jerawat.

Hannan Medispa menawarkan lebih 15 kategori rawatan termasuk Elsa Acne, Pigmentation and Skin Rejuvenation, Weight Loss Programme, Cryolipo Fat Freezing, Flawless Skin Therapy, Vaginal Rejuvenation Therapy dan Super Facial Therapy yang bermula dari RM90 hingga RM350," katanya.

Menyentuh teknologi terbaharu, Nurul Huda berkata pihaknya berbangga kerana menjadi spa pertama membawa masuk teknologi rawatan ‘virtual gym’ sebagai pilihan kepada wanita untuk tampil bukan sekadar langsing, tetapi mempunyai bentuk badan diingini terutama di beberapa bahagian seperti perut, pinggul, paha dan lengan tanpa perlu bersusah payah.

“Virtual gym membantu memecahkan lemak menggunakan fungsi impuls elektrik atau getaran, namun kesannya sama seperti bersenam di gimnasium.

Teknologi baharu

“Bezanya cuma pelanggan hanya perlu baring selama kira-kira 60 minit dan bahagian badan tertentu seperti perut, bawah lengan serta paha akan ditampal dengan pad pelekat sebelum disambung menggunakan wayar dan mesin bagi memulakan proses memecahkan lemak.


PENGURUS Hannan Medispa Wangsa maju, Nurul Huda Kosnon. - Foto Aswadi Alias

“Kaedah ini sesuai untuk semua orang terutama pesakit yang tidak boleh bergerak dan pergi ke gimnasium, tetapi mahu menyingkirkan lemak dengan cara mudah.

"Selain berfungsi memecahkan lemak di seluruh badan secara serentak, kaedah berkenaan juga membantu melancarkan sistem saluran darah atau sistem limfa," katanya.

Selain di Wangsa Maju, Hannan Medispa turut beroperasi di 28 lokasi sekitar Kuala Lumpur dan beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Menyentuh perancangan masa hadapan, Nurul Huda berkata pihaknya optimis mahu mengembangkan empayar Hannan Medispa ke peringkat luar khususnya Brunei dan Indonesia yang mempunyai permintaan sangat tinggi.

“Kita sudah kenal pasti lokasi di Brunei yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya awal tahun depan, malah Hannan Medispa sentiasa berusaha menjadi peneraju untuk membawa masuk teknologi baharu yang popular dan berkualiti tinggi ke pasaran Malaysia,” katanya.

INFO

* Nama: Nurul Huda Kosnon

* Umur: 32 tahun

* Jawatan: Pengurus Hannan Medispa Wangsa Maju

* Asal: Kuala Selangor

Berita Harian X