Ahad, 17 Jun 2018 | 10:04pm
JAFFAR sentiasa berusaha meningkatkan perniagaan. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Jaffar cekal bina empayar kicap

TERLALU mengejar keuntungan dalam tempoh waktu yang singkat dan tidak mempunyai daya saing sering menjadi kesalahan utama kebanyakan usahawan kecil dan sederhana.

Kebimbangan itulah yang sering menjadi igauan oleh Jaffar Abu Bakar sepanjang terbabit dalam dunia perniagaan agar dirinya tidak terlalu memikirkan keuntungan dan sentiasa berusaha meningkatkan perniagaan.

Jaffar bukanlah asing dalam dunia perniagaan kerana dia sudah menjadi usahawan lebih 30 tahun, bermula dari bawah sehinggalah kini dia mempunyai lebih 100 buah lori dan juga sebuah kilang pemprosesan kicap serta makanan segera.

Memulakan bicara, Jaffar berkata, dia mula terbabit dalam dunia perniagaan pada tahun 1985, setahun selepas dia pulang ke Malaysia setelah menamatkan pengajiannya di Amerika Syarikat (AS).

Ketika itu dia meneruskan syarikat usaha sama ayahnya dalam bidang logistik tetapi mengambil keputusan untuk berundur dari syarikat itu dan memulakan perniagaannya sendiri.

"Ayah saya ada pegangan dalam syarikat logistik dan pengangkutan dan dia berikan kepada saya. Tetapi ketika itu, tidak banyak kepercayaan diberikan kepada saya sebab masih muda dan baru dalam bidang perniagaan.

"Setelah berbincang dengan ayah, kami ambil keputusan untuk keluar dari syarikat itu dan mulakan syarikat logistik sendiri. Nilai pegangan saya ketika itu digantikan dengan dua buah lori.

JAFFAR menyasarkan jualan produk Enaq bakal meningkat kepada RM4 juta atau RM5 juta dan sudah memasuki pasaran Brunei serta Singapura. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Dengan hanya dua buah lori kami mula mencari pelanggan yang memerlukan perkhidmatan sehinggalah pada 1993, syarikat saya, Chemtrax Sdn Bhd mendapat projek utama dengan CCM Chemical Sdn Bhd.

"Bermulalah fokus syarikat saya dalam perniagaan logistik yang menumpukan kepada pengangkut bahan kimia dan gas. Satu lagi keputusan yang saya buat adalah berpindah dari Lembah Klang ke Johor Bahru untuk lebih dekat dengan syarikat berkenaan," katanya.

Jaffar berkata, mungkin ramai yang menyatakan dia beruntung kerana mendapat sokongan kewangan dari keluarga pada awal dia memulakan perniagaan, tetapi bagi Jaffar, walaupun mendapat suntikan modal atau bantuan dari keluarga tetapi diri sendiri tidak bijak menguruskan perniagaan, ia tidak akan berjaya.

Beliau berkata, syarikatnya mula mendapat kepercayaan beberapa syarikat lagi yang menjadi pelanggan tetapnya sehingga kini dalam membawa bahan kimia dan gas untuk dihantar ke seluruh Malaysia.

Sehingga kini, Jaffar berkata, Chemtrax mempunyai lebih 12 pelanggan yang terdiri daripada syarikat besar dengan nilai jualannya sebanyak RM20 juta.

Seiring dengan visinya sentiasa meningkatkan perniagaan, pada 2009, Jaffar menceburi segmen makanan dengan mengambil alih syarikat yang mengeluarkan produk kicap dan makanan segera.

"Saya sudah lama berminat dengan segmen makanan tetapi tidak tahu cara dan produk makanan apa yang boleh saya sertai. Sehinggalah pada 2009, peguam peribadi saya memberitahu ada sebuah syarikat yang ada kena mengena dengan satu jenama kicap terkenal ingin dijual.

"Setelah diteliti, ia adalah serpihan salah sebuah syarikat kicap terkenal dengan mengekalkan resipi kicap yang asli. Hanya dalam 48 jam, saya ambil keputusan beli syarikat itu yang merangkumi kepakaran, peralatan, resipi dan pengurusan.

KICAP Enaq kini sudah memasuki kesemua pasar raya besar dan menjadi berada di antara lima jenama kicap terbaik di Malaysia. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Cuma ketika itu saya tidak berapa menumpukan kepada perniagaan itu sehinggalah tahun 2015, saya tekad untuk memberi sepenuh masa kepada perniagaan kicap yang diberi nama Enaq," katanya.

Menyedari kesukaran untuk Enaq bersaing dengan jenama kicap lain di pasaran, Jaffar menumpukan sepenuhnya dalam pembangunan jenama kicapnya sehingga sanggup untuk turun padang memberikan sampel kicap kepada orang ramai.

Jaffar berkata, walaupun sudah selesa menjadi 'bos' selama ini, tiada masalah baginya untuk turun sendiri bersama pekerja kerana jenama kicap ini adalah perniagaannya dan seharusnya dia memberikan sepenuh tenaga dalam memastikan kicap Enaq mendapat tempat di hati pengguna.

"Buang sikap malu, ego dan sebagainya jika kita hendak berjaya. Itu yang saya lakukan sepanjang mempromosikan kicap Enaq agar semua orang tahu kewujudan kami ini.

"Tidak kisah sudah berapa lama menjadi ketua, tetapi bagi perniagaan baharu seperti ini, kita kena usaha dari bawah bersama-sama," katanya.

Jaffar berkata, kicap Enaq kini sudah memasuki kesemua pasar raya besar dan menjadi berada di antara lima jenama kicap terbaik di Malaysia dengan mencatatkan jualan sebanyak RM3.4 juta pada 2017.

Bagi 2018, Jaffar menyasarkan jualan produk Enaq bakal meningkat kepada RM4 juta atau RM5 juta dan sudah memasuki pasaran Brunei serta Singapura.

Beliau berkata, ketika ini Enaq mempunyai tujuh jenis produk dan bakal mempunyai tiga produk baharu penghujung tahun ini.

"Kita juga dalam perancangan untuk membangunkan kilang sendiri di atas tanah seluas empat ekar. Perancangan itu dijangka bakal berjalan dalam tiga atau empat tahun akan datang," katanya.

PROFIL
Jaffar Abu Bakar

  • Pengarah Urusan Sabaka Group Sdn Bhd (Sabaka)
  • Sabaka mempunyai tiga anak syarikat di bawahnya iaitu Chemtrax Sdn Bhd, Tankcare Sdn Bhd dan Enaq Sauce Sdn Bhd
  • Mempunyai enam orang anak
  • Mengimpikan Enaq bakal menjadi pengeluar produk makanan pertama di Malaysia
Berita Harian X