Ahad, 25 Februari 2018 | 10:06pm
ANTARA produk keluaran MIWA Manufacturing Sdn Bhd yang mendapat permintaan di pasaran. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
JASSEICA berjaya meluaskan perniagaan dengan pelbagai jenis produk. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
JASSEICA (kanan) ketika menguruskan perniagaan di Jalan DC1/4, Desa Coalfields, Sungai Buloh. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KAKITANGAN MIWA Manufacturing membuat proses pembungkusan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Berbaloi pinjam wang KWSP bapa

SUNGAI BULOH: Pengorbanan seorang bapa yang sanggup meminjamkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hasil penat lelahnya bekerja bertahun-tahun nyata bukan langkah sia-sia.

Ia berbaloi apabila Jasseica Rashid berjaya membalas kepercayaan diperoleh daripada bapanya dan menyaksikan empayar perniagaannya semakin berkembang.

Pada 2005, Jasseica memulakan perniagaan trak makanan menjual minuman 'ice-blended' dengan bantuan modal permulaan RM50,000 daripada bapanya.

Sokongan yang diterima dari keluarga menjadikan beliau semakin bersemangat untuk mengembang dan mempelbagaikan lagi produk keluarannya.

Malah, kesanggupan kakaknya berhenti kerja sebagai jurutera sistem dan membantunya menguruskan perniagaan juga amat dihargai.

Menurut Jasseica yang ditemui di Sungai Buloh, baru-baru ini, pada awal operasi perniagaan, beliau hanya bermula dari rumah.


PENGARAH Urusan MIWA Manufacturing Sdn Bhd, Jasseica Rashid. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Selepas tiga tahun beroperasi dari rumah, pada 2008 saya membuat keputusan menyewa sebuah premis. Waktu itu saya keluarkan produk puri buah-buahan yang digunakan untuk membuat 'ice-blended'.

"Saya mengedarkan puri berkenaan ke restoran dan kafe di sekitar Lembah Klang. Pada 2010, saya berpindah lagi ke kilang lebih besar dan pada waktu itulah saya mula mengeluarkan minuman jeli seperti yang ada di pasaran sekarang.

"Oleh kerana saya mahu memberi tumpuan kepada produk baharu, saya menghentikan pengeluaran puri buah," katanya kepada BH.

200 ejen, empat pusat pengedaran

Selepas hampir lapan tahun, MIWA Manufacturing Sdn Bhd kini mengeluarkan minuman jeli dengan empat perisa iaitu epal, anggur, strawberi dan laici.

Jasseica yang bergelar pengarah urusan syarikatnya, berkata pihaknya kini mempunyai lebih 200 ejen di seluruh Semenanjung dengan empat pusat pengedaran, masing-masing di Kuala Lumpur, Kuantan, Pahang dan Manjung, Perak.

Katanya, pada masa ini pihaknya mengeluarkan 10,000 kotak minuman jeli setiap hari untuk diedarkan ke pasaran yang ditetapkan.


PRODUK keluaran MIWA Manufacturing Sdn Bhd. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sasar 40,000 kotak sebulan

Mengenai perancangan tahun ini, Jasseica berkata, pihaknya bakal berpindah ke kilang baharu yang mempunyai saiz keluasan lebih besar.

"Selaras dengan itu, kami juga akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 40,000 kotak sebulan menjelang akhir tahun ini berbanding hanya 10,000 kotak sebulan pada masa ini.

"Selain itu, kami juga akan memasarkan produk baharu iaitu puding mangga dan menariknya, selain untuk pasaran tempatan, produk ini akan dieksport ke China kerana kami menerima permintaan dari peniaga di sana.

"Kami juga sedang merancang memasarkan produk ke pasaran Singapura dan Australia," katanya.

Cabaran sebagai usahawan

Ditanya mengenai cabaran dan kesukaran harus dihadapi sebagai usahawan, Jasseica bersyukur kerana jalan yang ditempuhi tidak begitu sukar.

"Cabaran itu ada tetapi kami dapat menanganinya dengan baik. Cuma pada awalnya, hendak mendapatkan pekerja yang bagus dan sesuai dengan jawatan yang digalas agak sukar.

"Dari segi persaingan, saya boleh katakan yang produk keluaran MIWA Manufacturing agak berbeza dengan apa yang ada di pasaran, jadi kami tidak bersaing dengan dengan mana-mana jenama," katanya.

Beliau turut berpegang kepada prinsip berniaga itu tidak mudah dan tidak juga sukar.


PELBAGAI jenis Produk keluaran MIWA Manufacturing Sdn Bhd. yang bermula dengan menjual minuman 'ice-blanded'. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Seseorang usahawan perlu tahu cara dan formula yang betul dalam menjalankan perniagaan. Walaupun sudah 13 tahun dalam bidang perniagaan, saya masih perlu sentiasa menambah pengetahuan.

"Dengan itu, saya boleh sentiasa menambahbaik dan menganalisis perjalanan perniagaan saya, sama ada cara yang digunakan masih sesuai dengan peredaran zaman atau sebaliknya," katanya.

Profil

Nama: Jasseica Rashid

Umur: 37 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Makanan Universiti Malaysia Terengganu

Pengalaman: 13 tahun dalam bidang perniagaan

Berita Harian X