Sabtu, 22 Julai 2017 | 12:07am

Usahawan gaya hidup sihat

PUTATAN: Minat yang tinggi dalam aspek penjagaan kesihatan dan kecergasan mendorong seorang anak muda dari Kampung Ketiau di sini, meninggalkan kerjaya dalam bidang perhotelan untuk menjadi jurulatih dan usahawan kecergasan.

Walaupun tiada kelulusan akademik dalam bidang sains sukan atau kecergasan, Benreza Hezery Uzair, Duta Transformasi Nasional 2050 (TN50) tertarik menceburi bidang itu selepas menyedari kepentingannya dalam penjagaan kesihatan, bukan saja untuk dirinya, malah masyarakat.


DUTA Transformasi Nasional 2050 (TN50), Benreza Hezery Uzair. - Foto Malai Rosmah Tuah

BEN di dalam Juara Gym yang menawarkan latihan kecergasan.

Pemilik Juara Gym di Juara Sports Village di Jalan Ketiau-Tombovo di sini, yang lebih mesra dipanggil Ben, 37, berpendapat aktiviti kecergasan dan pengambilan makanan yang baik harus dijadikan amalan setiap individu dalam usaha menjaga kesihatan.

Katanya, kesedaran mengenai kepentingan kecergasan dan pengambilan makanan untuk kesihatan mula timbul selepas tertarik dengan kempen makanan organik dan kecergasan ketika beliau bekerja dalam bidang perhotelan di Amerika Syarikat (AS).


BEN berbangga dilantik sebagai Duta TN50 dan berharap dapat mempromosi amalan gaya hidup sihat kepada masyarakat.

"Pada masa itu, masyarakat di sana banyak bercakap mengenai pengambilan makanan organik sebagai amalan gaya hidup sihat dan ia menarik minat saya untuk mendalami bidang kecergasan dan sukan serta pemakanan untuk kesihatan.

"Apabila pulang ke Sabah pada 2011, timbul idea untuk menjadikan minat itu sebagai kerjaya baharu di sini kerana saya melihat memang ada keperluan untuk mengembangkan industri kecergasan di negeri ini," katanya kepada BH Plus.

Inisiatif beliau membantu ke arah masyarakat sihat dan cergas meletakkan namanya sebagai antara usahawan muda berjaya di Sabah, sehingga disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Program Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT) 2017, baru-baru ini.

Pembabitannya dalam bidang sukan dan kecergasan, selain pendidikan awal kanak-kanak turut mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan apabila Ben dilantik antara 23 Duta TN50 di seluruh negara sejak Mei lalu.


BEN di dalam gelanggang futsal miliknya di Juara sports Village.

Ben yang berkelulusan Diploma Pengurusan Hotel dari Kolej C'esar Ritz, Switzerland dan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Belmont, AS tertarik dalam bidang sukan dan kecergasan ketika bekerja di AS selepas tamat pengajian.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1997, saya melanjutkan pengajian di luar negara, bermula pada tahun 1998 di Eropah dan kemudian ke AS. Saya merantau selama 15 tahun," katanya.

Dari situlah bermulanya kerjaya Ben sebagai usahawan dalam bidang sukan dan kecergasan sebelum mengembangkan lagi perniagaan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak menerusi pembukaan tadika dan taska yang menerapkan pendidikan Montessori.


BEN mula berminat menceburi bidang sukan dan kecergasan ketika menuntut di universiti di Amerika Syarikat.

Kini Ben memiliki Juara Gym, selain gelanggang Juara Futsal dan Juara Badminton yang melengkapi kemudahan sukan dan kecergasan di Juara Sports Village, di samping Juara Kids Kindergarten dan Taska Juara di Kampung Ketiau serta Juara Kids Kindergarten di Likas, Kota Kinabalu.

Menceritakan harapannya sebagai Duta TN50, Ben berkata, beliau mahu rakyat Malaysia dalam tempoh 30 tahun akan datang memiliki tahap kesejahteraan hidup yang tinggi, bukan diukur dengan wang ringgit semata-mata.

"Kita mahu sebuah masyarakat yang berminda dunia pertama, cergas, tahu nilai kebudayaan dan seni serta Malaysia yang harmoni," katanya.


BEN kini berbangga usahanya membina Juara Sports Village diiktiraf kerajaan.

Berdasarkan latar belakang keusahawanan diceburinya, Ben diberi tanggungjawab membantu mengembangkan inisiatif TN50 berkaitan dengan pembangunan sukan dan kecergasan, pendidikan awal kanak-kanak serta kesejahteraan hidup.

Sebagai duta, Ben merancang menganjurkan pertandingan futsal TN50 sebagai antara pendekatan beliau untuk menyampaikan maklumat berkaitan program itu kepada belia, selain menerusi dialog TN50 yang dibuat dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.

INFO

Ben Uzair

  • 1998-2011 - Belajar dan bekerja di Eropah dan Amerika Syarikat.
  • 2011 - Kembali ke Sabah dan memulakan kerjaya dalam bidang sukan dan kecergasan di Juara Sports Village, Kampung Ketiau, Putatan.
  • 2013 - Membuka Juara Gym di Juara Sports Village dan menjadi antara jurulatih kecergasan bertauliah
  • Mei 2017 - Nama beliau disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai antara usahawan berjaya di Sabah pada Program Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT) 2017.
  • Mei 2017 - Dilantik sebagai Duta TN50 dalam pembangunan sukan dan kecergasan, pendidikan awal kanak-kanak serta kesejahteraan hidup.

 

Juara Sports Village

  • Beroperasi di Kampung Ketiau, Jalan Ketiau-Tombovo, Putatan
  • Dilengkapi Juara Futsal (6 gelanggang), Juara Badminton (18 gelanggang) dan sebuah gym (Juara Gym)
  • Juara Gym menjadi hos program Jom Kurus 1Malaysia sejak 2014
  • Juara Gym menyediakan perkhidmatan kecergasan kepada semua golongan termasuk wanita dan lelaki yang mahu menurunkan berat badan atau peminat sukan bina badan.
Berita Harian X