Khamis, 14 November 2019 | 3:40pm
PENGERUSI MCMC , Al Ishsal Ishak (tengah) bersama CTIO Maxis , Morten Bangsgaard (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Aquaria KLCC, Datuk Simon Foong (kanan) bergambar bersama gimik pelancaran Maxis Pengalaman realiti terimbuh (AR) pertama Malaysia kehidupan marin bersama 5G Maxis di Aquaria KLCC. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

5G tawar potensi besar

KUALA LUMPUR: Teknologi 5G yang bakal mewujudkan peningkatan pelbagai aspek dalam kehidupan dan perniagaan menawarkan potensi besar kepada Malaysia untuk terus berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Teknologi dan Informasi Maxis Bhd, Morten Bangsgaard, berkata syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi dan digital Malaysia komited untuk menawarkan inovasi 5G terbaik untuk dimanfaat oleh rakyat dan perniagaan.

“Teknologi 5G adalah rangkaian yang bakal mengupayakan penyelesaian pintar masa depan dan mengubah cara kita berkomunikasi dan mengalami sesuatu perkara secara dramatik.

“Walaupun masih dalam peringkat eksperimen, kami amat teruja dengan potensi teknologi baharu ini,” katanya kepada media selepas pelancaran pengalaman realiti terimbuh (AR) di AquariaKLCC, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak; dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Aquawalk Sdn Bhd, Datuk Simon Foong.

Maxis memulakan perjalanan 5G sejak beberapa tahun dengan menilai teknologi dan menjalankan ujian makmal.

Pengendali telekomunikasi tempatan itu turut menaik taraf rangkaian untuk menyokong kelajuan gigabait (GB) dan pada masa sama memajukan unsur rangkaian utamanya untuk fleksibiliti dan skalabiliti bagi memenuhi keperluan kapasiti teknologi berkenaan.

Februari lalu, Maxis dan Huawei memeterai perjanjian persefahaman (MoU)untuk bekerjasama dalam percubaan 5G sepenuhnya disusuli satu lagi perjanjian pada Oktober bagi peruntukan 5G.

Menerusi kerjasama itu, Maxis memulakan percubaan langsung 5G pertama di negara dengan mencatat kelajuan muat turun hampir 3Gbps.

Bangsgaard berkata, Maxis juga melancarkan beberapa demonstrasi lain di seluruh negara bagi mengupayakan teknologi berkenaan.

“Pameran di AquariaKLCC adalah demonstrasi kes gunaan 5G ketiga, selepas pameran di Putrajaya dan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2019, di Kuching Julai lalu.

“Lebih banyak kes gunaan dijangka dilancarkan termasuk di Langkawi dan Gamuda Cove,” katanya.

Berita Harian X