Selasa, 12 November 2019 | 8:04pm
Ketua Industri Google Malaysia bagi teknologi dan syarikat telekomunikasi, Su Ann Lim. - Foto BERNAMA

Rakyat Malaysia semakin teliti sebelum beli telefon pintar

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia semakin peka dan teliti dalam penyelidikan telefon pintar mereka, dengan tinjauan dijalankan Google dan Ipsos baru-baru ini mendedahkan bahawa 46 peratus daripada mereka berada di bawah profil pengguna "penyelidik yang teliti".

Ketua Industri Google Malaysia bagi teknologi dan syarikat telekomunikasi, Su Ann Lim berkata ini disebabkan oleh inovasi dalam industri telefon pintar dan akses tinggi kepada maklumat.

“Penyelidikan dalam talian itu boleh dikatakan bahagian paling penting ketika membuat pembelian dan di mana pengguna Malaysia menghabiskan masa paling banyak.

“Namun, apabila semua faktor diambil kira dan dipertimbangkan, masih ada ruang bagi jualan runcit untuk memainkan peranan,” katanya pada taklimat media selepas mengumumkan hasil tinjauan berkenaan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang mahu membeli telefon pintar akan melakukan banyak penyelidikan sebelum membeli, seperti membaca ulasan telefon pintar, secara fizikal akan pergi ke kedai, membandingkan harga dalam talian dan menonton video yang memberi ulasan mengenai telefon pintar.

Apabila membuat keputusan, Lim berkata ciri-ciri telefon menjadi lebih penting daripada harga, termasuk jangka hayat bateri, sistem operasi dan spesifikasi dalaman.

Selain penyelidik yang teliti, kategori utama lain yang membentuk 78 peratus daripada 929 rakyat Malaysia yang dikaji selidik adalah ‘setia kepada jenama’ pada 22 peratus dan 10 peratus adalah pembelian berdasarkan kepada kedai.

Sementara itu, Lim berkata pengguna luar bandar semakin meningkat berikutan e-dagang kerana ia membantu memberikan pilihan yang lebih luas kepada segmen ini, sehingga pengguna luar bandar membeli telefon pintar dalam talian lebih ramai berbanding pengguna di bandar.

"Satu daripada empat telefon pintar dibeli secara dalam talian hari ini di Malaysia. Menurut kajian kami, 27 peratus penduduk luar bandar membeli telefon pintar mereka dalam talian dalam tempoh tiga bulan yang lalu berbanding 23 peratus penduduk bandar dalam tempoh yang sama,” katanya.

Kajian itu juga mendapati bahawa walaupun majoriti rakyat Malaysia menggunakan telefon pintar yang sama selama lebih daripada dua tahun, satu daripada dua rakyat Malaysia berhasrat untuk menukar telefon mereka dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Ipsos adalah firma penyelidikan dan perundingan pasaran global, yang beribu pejabat di Paris, Perancis

-BERNAMA

Berita Harian X