Jumaat, 1 November 2019 | 4:56pm

Nokia sasar kuasai pasaran 5G di pelabuhan Malaysia

KUALA LUMPUR: Nokia menyasarkan pelabuhan Malaysia dalam usaha menguasai pasaran teknologi generasi kelima (5G), memandangkan negara ini bersedia untuk melancarkan perkhidmatan internet mudah alih terpantas itu tahun depan.

Syarikat Finland itu tahun lalu bekerjasama dengan Pelabuhan Hamburg di Jerman untuk menguji teknologi dalam pengurusan lampu trafik, pemprosesan data dari sensor mudah alih dan realiti maya.

Ia berminat untuk menggunakan pengalaman itu di Malaysia, kata Ketua Nokia di Malaysia, Siva Shanmugam kepada Reuters.

Usaha Nokia itu muncul ketika ia menjangkakan berdepan persaingan sengit daripada syarikat China, Huawei, yang sudah memeterai perjanjian 5G dengan firma telekomumikasi di Malaysia.

“Nokia sedang menilai jenis kes penggunaan hujung-ke-hujung bagi 5G di Malaysia,” kata Shanmugam dalam satu e-mel pada Khamis.

“Satu bidang yang kami sedang terokai adalah menerapkan pembelajaran global kami kepada aplikasi perindustrian; khusus untuk operasi pelabuhan.

“Malaysia adalah pusat perkapalan penting kerana dua koridor maritim paling sibuk di Asia Tenggara - Selat Melaka dan Laut China Selatan - dikendalikan melalui perairannya,” katanya.

Malaysia mempunyai tujuh pelabuhan utama, dengan Pelabuhan Klang menjadi tempat tersibuk ke-12 di dunia tahun lalu.

Shanmugam berkata, Nokia juga bekerjasama dengan tiga pelanggan telekom di Malaysia, termasuk U Mobile dalam percubaan 5G.

Huawei telah menandatangani perjanjian dengan Maxis untuk melancarkan perkhidmatan 5G.

Ia juga mempunyai kesepakatan awal 5G dengan Celcom.

Huawei menghadapi pengawasan antarabangsa tahun lalu di tengah-tengah tuduhan AS bahawa peralatan syarikat itu boleh digunakan oleh Beijing untuk mengintip, kebimbangan yang dikatakan tidak berasas.

Washington meletakkan firma China dalam senarai hitam pada Mei lalu dan telah menggesa sekutunya untuk mengharamkan Huawei daripada membangunkan rangkaian 5G.

Menyentuh bagaimana Nokia menyaingi daya saing kos Huawei, Shanmugam berkata, Nokia mempunyai 48 transaksi komersial 5G di peringkat global dan mempunyai portfolio hujung-ke-hujung yang unik.

“Ini akan membolehkan Nokia menyediakan perbezaan ketara kes penggunaan 5G di Malaysia,” katanya.

Nokia mengupah beratus jurutera di Finland untuk mempercepat pembangunan 5G.

-Reuters

Berita Harian X