Rabu, 9 Oktober 2019 | 2:53pm
Sony PlayStation 5 dilancar pada musim cuti 2020.

Sony PlayStation 5 dilancarkan akhir 2020

SAN FRANCISCO: Konsol generasi akan datang Sony PlayStation 5, dengan ciri-ciri baharu lebih terperinci bagi membolehkan pengguna merasai sendiri dunia maya, akan dilancarkan pada musim cuti 2020.

Firma elektronik Jepun itu, yang sudah mula menunjukkan konsol baharu itu awal tahun ini berkata, ciri-ciri baharu utama adalah alat kawalannya yang terperinci.

“Salah satu sasaran kami adalah generasi berikutnya ini akan memperincikan keadaan semasa anda bermain dan kami mempunyai peluang itu dengan alat kawalan baharu untuk memberikan imaginasi bagaimana deria sentuh boleh menambah kepada perincian berkenaan,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Sony Interactive Entertainment, Jim Ryan.

Alat kawalan baharu itu akan menawarkan ‘maklum balas’ yang membolehkan pengguna lebih hampir dengan aksi permainan.

“Dengan teknologi ‘haptic’, anda merasai tindakan yang lebih ketara, justeru jika kereta berlanggar semasa berlumba adalah berbeza dengan pergerakan melakukan bentesan di padang bola sepak,” katanya.

“Malah, anda boleh merasai pelbagai tekstur semasa berlari merentasi pada rumput atau melalui lumpur.

Satu lagi ciri-ciri adalah ‘pemacu adaptif’ yang terdapat pada alat kawalan supaya pengguna boleh merasai sensasi semasa menarik anak panah atau memecut kenderaan lasak melalui kawasan berbatu,” tambhanya.

Sony, yang menerajui segmen konsol, mengumumkan langkah itu ketika semakin ramai pengguna yang beralih daripada konsol kepada permainan penstriman menggunakan Internet pada pelbagai peralatan.

Google, Apple dan beberapa syarikat lain telah melancarkan langganan permainan yang yang bersaing dengan perkhidmatan permainan video awan PlayStation Now.

Menurut NPD Group, sebuah firma penyelidikan, 73 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) berusia dua tahun ke atas bermain permainan video, kenaikan enam mata peratusan sejak Jun 2018.

-AFP

Berita Harian X