Jumaat, 9 Ogos 2019 | 5:39pm
Ketua kumpulan pengguna pengguna Huawei, Richard Yu, memperkenalkan sistem operasi HarmonyOS yang baharu di Persidangan Pemaju Huawei di Dongguan, wilayah Guangdong, China. - Foto REUTERS

Huawei lancar sistem operasi HongMeng

BEIJING: Gergasi telekomunikasi China, Huawei memperkenalkan sistem operasi (OS) miliknya sendiri sebagai persediaan berdepan ancaman kehilangan akses sistem Android susulan ketegangan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Ketua Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu, berkata sistem baharu yang dikenali sebagai HarmonyOS atau HongMeng dalam bahasa Cina itu mampu membawakan "keharmonian dan kemudahan kepada dunia".

Katanya, perisian yang ditunggu-tunggu itu penting untuk menjamin kelangsungan gergasi teknologi itu selepas berdepan dengan tindakan pengharaman Rumah Putih untuk syarikat AS menjual produk teknologi kepada Huawei, sekali gus memutuskan akses syarikat itu untuk menggunakan sistem operasi Android milik Google.

Yu berkata, sistem baharu itu berorientasikan "OS pada masa depan" untuk menjalankan operasi "lebih lancar dan selamat"

"Ia sangat berbeza dengan Android dan iOS," katanya dalam satu sidang media di Dongguan, China.

Huawei berkata versi pertama sistem operasi itu akan dilancarkan lewat tahun ini yang dimuatkan dalam produk skrin pintarnya.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia akan dibangunkan dalam semua kategori peranti pintar miliknya termasuk peranti teknologi boleh dipakai.

Pada Mei lalu, syarikat itu menjadi mangsa perang dagangan Beijing dengan Washington, yang menyaksikan pelaksanaan tarif mencecah berbilion dolar untuk dagangan dua hala.

Huawei yang kini dikenali sebagai peneraju perkakasan rangkaian telekomunikasi generasi kelima atau 5G, berdepan impak disenarai hitam oleh Presiden AS, Donald Trump.

Ia susulan dakwaan Trump yang mencurigai gergasi teknologi itu menyediakan ‘pintu belakang’ dalam sistemnya kepada China bagi melakukan pengintipan, meskipun firma itu sudah menafikan dakwaan terbabit.

Beijing kemudiannya membidas tindakan AS mengharamkan Huawei dan syarikat China lain mendapatkan kontrak kerajaan itu dengan menempelak kerajaan itu mengamalkan pembulian ‘salah guna kuasa.” ke atas mereka.

-AFP

482 dibaca
Berita Harian X