Jumaat, 9 Ogos 2019 | 2:48pm
Orang ramai boleh melayari www.facebook.com/Toushinspiredbypensonic atau hubungi talian 1-800-881-770.

Pensonic lancar siri kelengkapan rumah pintar

KUALA LUMPUR: Pensonic melancarkan siri kelengkapan rumah pintar Toush bagi perkakas Objek Rangkaian Internet (IoT) pintar yang menggunakan WiFi dan boleh dikawal secara jauh menerusi aplikasi tunggal, Toush.

Perkakas IoT pintar Toush adalah kelengkapan intuitif yang memberi respons kepada pengguna dan boleh dikawal secara jauh menggunakan peranti skrin sentuh.

Sensor berbeza yang dimiliki perkakas pintar Toush -- seperti sensor suhu, kualiti udara, lokasi, getaran, kelembapan dan sensor lain -- akan menghasilkan data berguna dan syor praktikal untuk memastikan persekitaran yang selesa untuk pengguna serta orang tersayang.

Pengarah Urusan Pensonic Group, Vincent Chew, berkata Pensonic adalah jenama perkakas elektrik tempatan pertama yang boleh mengendalikan banyak produk menerusi satu aplikasi tunggal.

“Pada masa ini, kami mempunyai pembersih vakum robotik pintar, pemanas air pintar, penapis air pintar dan penghawa dingin pintar serta kit pintar.

“Kit pintar Toush mengandungi sensor gerakan pintar, sensor suhu dan kelembapan pintar selain sensor pintu dan tingkap dengan sistem kawalan get laluan,” katanya semasa pelancaran siri kelengkapan pintar Toush, semalam.

Lebih banyak lagi perkakas rumah yang sedang dibangunkan untuk melengkapkan siri tersebut seperti kipas, mesin basuh, peti sejuk, suis, soket dinding dengan USB, plag, dispenser air dan dapur, dalam usaha menjadikan rumah pengguna sebagai sebuah kediaman pintar.

Beliau berkata, pengguna boleh menguruskan secara automatik pelbagai kelengkapan sama ada untuk digunakan atau tutup suis pada masa tertentu, pembersihan berjadual, memantau penggunaan tenaga, menerima peringatan servis dan status bagi penyenggaraan, mendapatkan akses segera kepada manual pengguna selain menambah ahli keluarga untuk menguruskan perkakas berkenaan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai siri kelengkapan rumah Toush, orang ramai boleh melayari www.facebook.com/Toushinspiredbypensonic atau hubungi talian 1-800-881-770.

-- BERNAMA

Berita Harian X