Khamis, 8 Ogos 2019 | 8:03pm
PRODUK Huawei. - Foto REUTERS

Huawei komited melabur hasilkan produk berkualiti

KUALA LUMPUR: Huawei, gergasi teknologi dari China sentiasa komited untuk melabur dalam memastikan penghasilan produk dan perkhidmatan berkualiti sekali gus memastikan jenamanya terus berdaya saing di pasaran global.

Ketua Pemasaran dan Strategi Huawei Rantau Pasifik Selatan, Lim Chee Siong berkata, komitmen pelaburan itu boleh dilihat apabila syarikat itu menetapkan sekurang-kurangnya 12 peratus daripada pendapatan globalnya bagi tujuan terbabit.

“Untuk tahun ini, kami memperuntukkan sebanyak AS$17.5 bilion (RM73.61 bilion) bagi tujuan pelaburan dan kami merancang untuk meningkatkannya kepada AS$100 bilion (RM420.64 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang bagi terus menyumbang kepada perkembangan teknologi dunia pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Konvensyen Pembekal Huawei Rantau Pasifik Selatan 2019 di sini, hari ini.

Huawei melabur kira-kira AS$14.41 bilion (RM60.61 bilion) iaitu 14.1 peratus daripada pendapatan jualannya pada tahun lalu dan telah tersenarai di tempat kelima dunia dalam papan skor pelaburan pembangunan dan penyelidikan (R&D) perindustrian Kesatuan Eropah (EU).

Huawei menganjurkan Konvensyen Rantau Pasifik 2019 yang dihadiri 110 rakan niaga, 220 peserta dan 100 pekerja dari lima negara dalam rantau itu membabitkan Brunei, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina dan Singapura.

Sementara itu, Presiden Huawei Rantau Pasifik Selatan, Jeffery Liu berkata, konvensyen tahunan itu bertujuan untuk berkongsi strategi dan transformasi model penyampaian dan digital Huawei di samping menggalakkan Huawei dan rakan niaga bekerjasama mempromosikan pelaksanaan aplikasi digital.

“Dengan tema ‘Transformasi Bersama, Membina Ekosistem’, acara ini memberi fokus bagi mempromosikan dan mengukuhkan kerjasama antara Huawei dan pembekal.

“Ia untuk menyokong visi syarikat dalam membina dunia pintar dan terhubung dengan membawa akses digital kepada setiap individu, kediaman serta organisasi,” katanya.

Pada masa ini, Huawei Rantau Pasifik Selatan memiliki lebih daripada 6,200 pekerja di seluruh rantau ini dengan 80 peratus daripadanya adalah tenaga kerja tempatan.

66 dibaca
Berita Harian X