Rabu, 7 Ogos 2019 | 2:59pm
Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee (dua dari kanan) bersama Ketua Pemasaran dan Operasi Microsoft Malaysia, Michal Golebiewski (dua dari kiri) melancarkan GoOffice di The Colony KLCC. NSTP/Owee Ah Chun

U Mobile, Microsoft tawar GoOffice untuk PKS

KUALA LUMPUR: U Mobile memperkenalkan GoOffice, pakej pukal panggilan suara, data dan aplikasi Office pertama di Malaysia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Produk baharu hasil kerjasama dengan Microsoft itu ditawarkan pada harga mampu dimiliki serendah RM238 sebulan.

Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee, berkata GoOffice bermatlamat untuk membolehkan semua perniagaan, terutama PKS mendigitalkan perniagaan bagi menjadikan operasi lebih lancar dan berdaya saing.

“PKS dapat merealisasikan potensi sebenar menerusi inovasi produk kami yang menggabungkan keterhubungan dan Office yang pertama untuk PKS.

“Gabungan data tanpa had dengan panggilan suara dan perkhidmatan Microsoft berasaskan perkomputeran awan membolehkan PKS menjalankan perniagaan tanpa mengira masa, tempat mahupun peranti yang digunakan,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran GoOffice di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pemasaran dan Operasi Microsoft Malaysia, Michal Golebiewski.

Pakej pukal GoOffice menawarkan Microsoft Office 365 untuk perniagaan merangkumi akses kepada Microsoft Word, Exel, PowerPoint, OneNote, Outlook dan Access dengan kapasiti penyimpanan cloud 1 terabait (TB) pada OneDrive dan menghubungkan sehingga 15 peranti.

Menerusi pakej berkenaan, pelanggan akan menerima satu talian pasca bayar utama dengan panggilan suara dan data tanpa had, 4-gigabait (GB) data Roam-Onz yang membolehkan perayauan data di 12 destinasi serta hotspot sebanyak 20GB.

Selain itu, pelanggan akan menikmati dua talian pasca bayar tambahan yang menerima panggilan suara tanpa had, data berkelajuan tinggi 6GB, 500 megabait (MB) data Roam-Onz dan penggunaan aplikasi Waze tanpa had.

Lee berkata, sasaran pelanggan bagi melanggan pakej pukal adalah perniagaan kecil yang memiliki tiga hingga lima pekerja dan jumlah maksimum 10 pekerja.

“Di Malaysia, kira-kira 70 peratus PKS adalah perniagaan mikro. Mereka adalah sasaran kita bagi membantu perniagaan berkembang lebih pesat dengan operasi lebih lancar.

“Ini adalah penerokaan pertama U Mobile dalam segmen ini dan saya berharap pengedar kami tampil untuk menawarkan perkhidmatan yang terhasil daripada gabungan teknologi maklumat dan telekomunikasi dengan meluas untuk mengembangkan perniagaan syarikat tempatan,” katanya.

Berita Harian X