Jumaat, 5 Julai 2019 | 4:11pm
KETUA Pegawai Eksekutif Touch n Go Sdn Bhd dan TNG Digital Sdn Bhd. Syahrunizam Samsudin. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

'Pengguna perlu bijak pilih e-dompet terbaik'

KUALA LUMPUR: Penyedia e-dompet di Malaysia perlu bekerjasama untuk mendidik pengguna memilih perkhidmatan e-dompet yang terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch n Go Sdn Bhd dan TNG Digital Sdn Bhd. Syahrunizam Samsudin berkata rakyat kini mempunyai pelbagai pilihan dan negara mempunyai lebih banyak penyedia e-dompet berbanding ekonomi kedua terbesar di dunia, China.

“Oleh itu, pengguna akan keliru dengan tawaran e-dompet yang sangat banyak. Akhirnya, pengguna akan memilih penyedia e-dompet yang memberikan lebih nilai dan faedah,” katanya kepada Bernama di luar program persidangan Wild Digital Asia 2019.

Bagaimanapun, Syahrunizam berkata pasaran e-dompet turut bergantung kepada demografi dan kumpulan umur dengan mereka yang berumur antara 18 dan 25 mempunyai purata lima e-dompet untuk memaksimumkan faedah manakala mereka yang berusia melebihi 35, cenderung hanya kepada satu atau dua e-dompet sahaja kerana lebih mudah.

Katanya, penyedia perkhidmatan juga perlu menaik taraf produk mereka dengan teknologi terkini kerana pengguna tempatan semakin cekap dalam teknologi.

Beliau berkata e-dompet TNG Digital, Touch ‘n Go, akan terus berinovasi dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk berurusan tanpa tunai.

“Touch ‘n Go dan Touch ‘n Go Digital akan terus berinovasi dan mewujudkan lebih banyak urus niaga tanpa tunai untuk rakyat Malaysia terutamanya dalam pengangkutan dan juga gaya hidup.

“Kami lebih kepada keperluan domestik dan kami kenal rakyat Malaysia dengan baik selama 22 tahun dan kini kami mahu menggunakan teknologi data kami untuk mewujudkan lebih banyak kemungkinan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

TOUCH ‘n Go bersama rakyat Malaysia lebih dua dekad apabila kad Touch ‘n Go pertama kali diperkenalkan kepada pemandu, menjadikannya lebih mudah dan cepat untuk membayar tol di lebuh raya.

Prosesnya mudah, dengan hanya sentuhan kad ke atas mesin pembaca, membolehkan pelanggan membuat pembayaran.

-BERNAMA

186 dibaca
Berita Harian X