Rabu, 15 Mei 2019 | 3:28pm
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut menyampaikan ucapan pada "Maxis unveils First -of its-kind concept store in Malaysia" di The Garden Mall. - Foto Saifullizan Tamadi

Maxis tampil kedai konsep baharu

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) memperkenalkan kedai konsep serba baharu di pusat beli-belah Gardens Mid Valley yang menawarkan pengalaman perkhidmatan digital pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut, berkata dengan reka bentuk baharu dan teknologi canggih, kedai konsep itu menawarkan interaksi menarik, relevan dan bermanfaat kepada pelanggan.

Beliau berkata, antara pembaharuan yang ditampilkan termasuklah skrin digital berteknologi tinggi, kaunter khidmat pelanggan seperti kafe, kaunter demonstrasi peribadi, robot dan aplikasi layan diri.

“Kedai konsep baru ini adalah penting untuk merealisasikan cita-cita jangka panjang syarikat yang dibina berdasarkan tiga fokus utama.

“Antaranya ialah memenuhi gaya hidup digital setiap pelanggan, memberikan pengalaman berbeza dan mengembangkan budaya inovasi serta kecekapan.


Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut (kanan) mencuba permainan games pada "Maxis unveils First -of its-kind concept store in Malaysia" di The Garden Mall. - Foto Saifullizan Tamadi

“Pengenalan kedai konsep ini bukan saja sebagai tanda aras bagi industri telekomunikasi, malah turut menjangkaui sektor runcit secara keseluruhannya,” katanya pada majlis pelancaran kedai konsep itu di sini, hari ini.

Kedai konsep Maxis itu mempunyai enam ciri yang bakal menjadi pencetus kepada pengalaman interaksi digital kepada pelanggan seperti Pembantu Runcit Interaktif Maxis (MIRA), yang mana pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR pada skrin digital.

Ciri lain yang berada di kedai konsep itu adalah aplikasi penemuan untuk peranti demonstrasi, skrin digital gergasi dan 11 unit skrin 98 inci, analisis runcit, RFID dan titik jualan mudah alih serta biometrik tanpa wayar.

Gokhan berkata, kedai konsep berkenaan turut menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pelanggan dalam segmen perusahaan runcit, sejajar dengan tumpuan syarikat untuk membantu peruncit memodenkan pengalaman dalam talian dan luar talian mereka menerusi penyelesaian e-dagang.

“Ini membolehkan peruncit berpeluang untuk menawarkan pengalaman digital dan peribadi kepada pelanggan mereka sendiri seterusnya menjadi lebih berdaya maju dan mengukuhkan perniagaan,” katanya.

Selain itu, Maxis katanya juga sentiasa menjalin kerjasama dengan jenama terkemuka bagi melengkapkan pengalaman pelanggan secara menyeluruh melalui acara dan aktiviti istimewa.

“Bulan ini, kedai ini juga akan menampilkan zon permainan Razer dan pelanggan juga boleh menyertai pertandingan permainan mudah alih terkini serta memenangi hadiah menarik,” katanya.

204 dibaca
Berita Harian X