Isnin, 13 Mei 2019 | 4:27pm
VIVO Malaysia melancarkan 6,000 unit telefon pintar edisi terhad Vivo V15 dengan warna baharu, Blossom Pink. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Vivo lancar 6,000 unit edisi terhad V15 Blossom Pink

KUALA LUMPUR: Vivo Malaysia melancarkan 6,000 unit telefon pintar edisi terhad Vivo V15 dengan warna baharu, Blossom Pink.

Telefon pintar berkenaan boleh mula didapati di pasaran bermula Sabtu ini dengan harga jualan RM1,299.

Sempena pelancaran edisi terhad berkenaan, Vivo Malaysia menjalin kerjasama dengan jenama barangan kecantikan terkemuka, SimplySiti dengan memberikan baucar bernilai RM50 kepada 1,000 pembeli terawal telefon pintar berkenaan.

Baucar itu boleh digunakan untuk sebarang pembelian produk SimplySiti berkenaan termasuklah SimplySiti Red Collection.

Ketua Eksekutif Vivo Malaysia, Mike Xu, pihaknya sentiasa prihatin akan kehendak pengguna dan cuba untuk mengeluarkan produk yang memenuhi permintaan pasaran.

“Saya amat gembira kerana siri V15 mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan kami berharap akan dapat terus menjalin kerjasama dengan selebriti terkemuka, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Setiap pembelian Vivo V15 Blossom Pink juga didatangkan dengan alat penyegar (humidifier) eksklusif,” katanya pada majlis pelancaran telefon pintar edisi khas itu di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Siti Nurhaliza yang juga duta telefon pintar Vivo di negara ini serta Ketua Eksekutif Simply SS Trading Sdn Bhd, Azuddin Rahman.

Vivo V15 Blossom Pink mempunyai spesifikasi sama dengan V15 yang didatangkan dengan kamera hadapan 32 megapiksel boleh dinaikkan bagi memberikan pengalaman swafoto lebih baik.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan Paparan Penuh Ultra yang memberikan pandangan dan perspektif lebih luas.

Telefon pintar itu juga mempunyai kapasiti simpanan RAM enam gigabait (6GB) dan 128GB, manakala kapasiti baterinya adalah sebanyak 4,000mAh yang boleh memanjangkan tempoh penggunaan.

94 dibaca
Berita Harian X