Jumaat, 10 Mei 2019 | 3:00pm
Ketua Pegawai Produk dan Inovasi Celcom Axiata Bhd, Roy Ong. NSTP/Rohanis Shukri.

'Ultra Hour Pass' khas untuk pelanggan Celcom Xpax

PETALING JAYA: Celcom Axiata Bhd (Celcom Axiata) melancarkan tawaran terbaharu bagi internet tanpa had, ‘Ultra Hour Pass’ khas buat pelanggan Celcom Xpax.

Menerusi tawaran berkenaan, pelanggan Celcom Xpax kini boleh menikmati sebarang kandungan internet pada harga serendah RM1 untuk sejam.

Selain itu, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk ‘Ultra Hour Pass’ bagi tempoh tiga jam (RM2); 12 jam (RM5) atau 24 jam pada harga RM8.

Ketua Produk dan Inovasinya, Roy Ong, berkata tawaran inovatif itu mampu memberikan kegembiraan pelayaran internet dengan fleksibiliti untuk memiliki akses internet berkelajuan tinggi pada bila-bila masa dan di mana saja mereka berada.

“Dengan hanya RM1, pelanggan boleh menikmati satu jam internet tanpa had dan akses kepada informasi dan hiburan digital mengikut kemudahan mereka.

“Tawaran ini juga sempurna untuk pelanggan yang tidak mahu menggunakan kuota data yang mereka ada ketika menstrim video berdefinisi tinggi (HD) di peranti mereka.

“Sebagai contoh, jika pelanggan Celcom Xpax mempunyai masa terluang selama dua jam dan ingin menonton filem berkualiti HD selama dua jam, mereka boleh mengakses dan menikmati internet tanpa had selama tiga jam hanya RM2,” katanya pada majlis pelancaran tawaran baharu berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pengguna dan Perniagaan Rumah Celcom Axiata, Danny Chew.

Pelanggan Celcom Xpax boleh menikmati ‘Ultra Hour Pass’ dengan log masuk ke aplikasi Celcom Life dan memilih ciri ‘Buy More’ untuk lebih banyak internet.

Ong berkata, bagi memenuhi komitmen Celcom Axiata dalam menyediakan pengalaman digital terbaik kepada pelanggan, Celcom Xpax kini diberikan inovasi dan dipermudahkan untuk memenuhi keperluan pelanggan.

“Mereka mahukan penggunaan internet tanpa gangguan mengikut kemudahan dan tawaran ‘Ultra Hour Pass’ ini adalah sesuai bagi pelanggan yang mahu bermain permainan mudah alih, melayari laman web dan sebagainya,” katanya.

254 dibaca
Berita Harian X