Rabu, 8 Mei 2019 | 6:18pm
Pengarah Urusan Jualan dan Pemasaran Intel bagi Asia Pasifik dan Jepun, Santosh Viswanathan (kiri) bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Silverlake, Goh Peng Ooi (kanan) bertukar dokumen perjanjian. NSTP/Rosdan Wahid.

Silverlake, Intel teroka teknologi keselamatan siber

KUALA LUMPUR: Silverlake MasterSAM (Silverlake), peneraju dalam keselamatan perbankan, menjalin kerjasama strategik dengan Intel Corp dalam teknologi baharu dalam meneroka keselamatan siber dan data pengguna.

Pengarah Urusan Silverlake, Sanjeev Dhar, berkata kerjasama itu bakal membantu kedua belah pihak dalam menyampaikan teknologi keselamatan dan internet untuk segala-galanya (IoT) kepada pelanggan sederhana dan besarnya.

Katanya, kerjasama pertama kedua pihak adalah dalam teknologi Kotak Hitam Pengurusan Akses Khas, yang bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

“Teknologi Kotak Hitam Pengurusan Akses Khas ini adalah keselamatan tambahan kepada pelayan dan mengelakkan kecurian data dan sebagainya.

“Pasaran teknologi baharu ini tertumpu kepada negara ASEAN dan industri perbankan kerana 40 peratus institusi perbankan di ASEAN adalah pelanggan kami.

“Ia bakal memberikan nilai tambah kepada perisian sedia ada dan memberi penyelesaian kepada keselamatan siber serta menjimatkan masa dan kos,” katanya dalam taklimat media Kotak Hitam Pengurusan Akses Khas dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Intel dan Silverlake di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Silverlake, Goh Peng Ooi dan Pengarah Urusan Jualan dan Pemasaran Intel bagi Asia Pasifik dan Jepun, Santhosh Viswanathan.

Sanjeev berkata, teknologi Kotak Hitam Pengurusan Akses Khas dan kerjasama berterusan antara pihaknya dan Intel dijangka meningkatkan lagi pendapatan kumpulan pada masa hadapan.

Beliau berkata, kumpulan optimis dapat meningkatkan pendapatan tahun ke tahun dan kerjasama sebegini bakal menjadi pencetus kepada prestasi kumpulan.

Sementara itu, Santhosh berkata, kerjasama itu adalah bukti usaha berterusan Intel membantu perniagaan dalam pelaburan teknologi maklumat, pengurusan risiko dan meningkatkan perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama rapat dalam ekosistem sedia ada dalam mencari serta memberi penyelesaian yang lebih dengan mengguna pakai rangkaian dan data.

124 dibaca
Berita Harian X