Jumaat, 3 Mei 2019 | 7:22pm

Kuala Lumpur kaya warisan

PERJALANAN meneroka keindahan bandar raya Kuala Lumpur pastinya lebih menyeronokkan jika ditemani dengan kamera canggih yang dapat merakam setiap detik dengan hebat.

Menikmati panorama waktu siang dengan meninjau lokasi menarik dan bersejarah pastinya memberikan pengalaman tidak dilupakan.

Mengimbau serba sedikit sejarah ibu kota kosmopolitan Kuala Lumpur (KL) pada 1857 asalnya sebuah perkampungan lombong bijih timah.

KL bermaksud kuala berlumpur membangun di kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Menerusi pelantikan kapitan (ketua) kaum Cina ketiga, Yap Ah Loy, beliau membangunkan KL sebagai pekan lombong bijih timah yang kecil dan sunyi, menjadi bandar dikenali ramai.

Orang ramai sebenarnya masih berpeluang melihat deretan rumah kedai pertama dibina dekat Old Market Square (kini Lebuh Pasar Besar).

Unit kediaman di situ pernah didiami Yap Ah Loy bersama keluarganya sekitar tahun 1870.

Salah satu tarikan di Kuala Lumpur sehingga kini masih menjadi lokasi kegemaran pengunjung dalam dan luar negara, adalah Masjid Negara.

Dikenali sebagai masjid utama di Malaysia, ia dibina pada tahun 1963 dan dirasmikan pada 27 Ogos 1965.

Reka bentuk masjid ini unik dan apabila melangkah kaki ke dalam masjid, mata akan terpukau dengan keindahan seni bina dalamannya.

Reka bentuknya selaras dengan reka bentuk bangunan zaman moden tetapi seni bina Islam masih dikekalkan.

Rupa bentuk masjid ini terhasil dari campuran corak ke-Islaman dan moden serta bersulamkan seni bina tempatan.

Bentuk ukiran jerjak besi yang mengelilingi bangunan ini dan dom kecil yang berada di sebelah atas beranda adalah berasaskan reka bentuk Sarasin, tetapi ia disesuaikan dengan rekaan moden.

Kami meneruskan perjalanan ke sekitar Taman Tasik Perdana yang bukan saja sekadar taman riadah biasa tetapi turut menjadi lokasi Tugu Negara, Muzium Negara, Planetarium Negara, Taman Orkid dan Taman Burung Kuala Lumpur.

Pada mulanya penulis agak keberatan untuk melawat Taman Orkid tetapi apabila langkah diatur memasuki perkarangan taman itu, ia memberikan ketenangan.

Pelbagai jenis spesies bunga orkid pelbagai warna memberikan inspirasi tersendiri.

Keunikan terbaharu dalam kembara di KL kali ini adalah Sungai Nadi Kehidupan (RoL) dan Kolam Biru yang turut mengangkat status ibu negara setaraf dengan bandar raya terkemuka lain di dunia.



Pengalaman melihat transformasi persimpangan Sungai Klang dan Sungai Gombak memberi kekaguman tersendiri apatah lagi Masjid Jamek Sultan Abdul Samad berada di tengah persimpangan sungai itu.

Masjid yang asalnya dibina oleh pedagang Islam yang berasal dari India pada zaman penjajahan British menjadi sebahagian daripada mercu tanda Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam.

Jika sudah melawat sekitar RoL, tidak sah rasanya jika tidak terus melangkah ke Pasar Seni yang terletak beberapa ratus meter saja.

Pasar Seni suatu ketika dulu dikenali sebagai lokasi penggiat seni berkumpul dan berkongsi pandangan mereka. Tahun ke tahun menyaksikan kawasan ini semakin membangun dan menjadi lokasi utama pelancong asing.

6794 dibaca
Berita Harian X