Selasa, 30 April 2019 | 3:29pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kanan) berkenan meyampaikan anugerah Khas Akademi Putra di majlis Gemilang Akademi Putra 2018 di UPM. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Produk UPM taraf antarabangsa

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) memfailkan sebanyak 2,757 harta intelek dan melesenkan sebanyak 175 teknologi untuk dikomersialkan yang menjana jualan kasar pengkomersialan sebanyak RM64.02 juta, sejak tahun 1995.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Aini Ideris, berkata hasil teknologi dan inovasi, produk itu dipasarkan syarikat dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, antara produk terbabit ialah teknologi peleraian menggunakan tenaga wap dalam industri kelapa sawit.

Katanya, teknologi dikenali ‘Rob-Rapid Equilibrated Sterilisation Technology’ (Robo-Rest) mengurangkan kehilangan minyak kelapa sawit membabitkan kerugian berjuta ringgit.

“Ini dengan sendirinya mengukuhkan kedudukan negara kita sebagai peneraju utama dalam teknologi minyak kelapa sawit dunia.

“Teknologi ini dikomersialkan sebuah syarikat multinasional, Dolphin Applications Sdn Bhd yang kemudian disenaraikan di Bursa Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gemilang Akademia Putra di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, di sini, hari ini.

Pada majlis itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada 23 penerima termasuk dua kakitangan bukan akademik.

Dr Aini berkata, Robo-Rest bukan saja menarik minat pengusaha kilang sawit dalam negara, malah diperkenalkan di luar negara dalam kalangan negara pengeluar sawit seperti Brazil, Colombia dan Honduras di Amerika Selatan serta Indonesia, Thailand dan Afrika Selatan.

Beliau berkata, dari segi penarafan pula, UPM muncul universiti keempat terbaik di Asia Tenggara dan kedua terbaik di Malaysia oleh QS Asia University Ranking 2019.

Beliau berkata, kesemua penarafan itu menunjukkan pengukuhan reputasi dan prestasi universiti secara kolektif pada peringkat Asia dan global.

“UPM selaku peneraju pendidikan pertanian di negara ini, bersesuaian status universiti penyelidikan, akan sentiasa memperkukuhkan usaha bagi memberi manfaat kepada masyarakat dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat negara ini,” katanya.

241 dibaca
Berita Harian X