Selasa, 2 April 2019 | 6:21pm
HUAWEI, gergasi teknologi terkemuka antarabangsa memperkenalkan siri HUAWEI P30. - NSTP/Amirudin Sahib

P30 mampu cetus HUAWEI jadi peneraju pasaran Malaysia

KUALA LUMPUR: HUAWEI, gergasi teknologi terkemuka antarabangsa memperkenalkan siri HUAWEI P30, produk revolusi telefon pintar terkini yang diperkasakan dengan sistem kamera termaju untuk pasaran Malaysia.

Pelancaran produk yang akan memasuki pasaran tempatan bermula Sabtu ini, dinantikan pengguna Malaysia selepas pengenalannya di Paris minggu lalu telah menarik perhatian ramai dan tular di media sosial.

Turut meneroka pasaran tempatan dengan kemunculan pertamanya adalah HUAWEI MateBook 13 dan HUAWEI Watch GT edisi 46mm serta 42mm.

Timbalan Pengarah Huawei Malaysia, Matthew Ng, berkata pengenalan siri HUAWEI P30 baharu itu akan memangkin syarikat mencapai sasaran menjadi peneraju pasaran telefon pintar Malaysia.

Katanya, ia akan dilaksanakan dengan memastikan semua produk keluaran gergasi itu mudah didapati di seluruh negara yang mana HUAWEI kini sudah berkembang memiliki lebih 3,000 kawasan menjual peranti pintarnya.

“Syarikat menyaksikan pertumbuhan penguasaan pasaran telefon pintar yang kukuh di negara ini kepada 32 peratus ketika ini.

“Maka dengan menggunakan formula penerokaan pasaran yang sudah terbukti ini, kami hanya perlu meneruskan usaha mendekati pengguna di pasaran Malaysia bagi mengukuhkan kedudukan jenama di sini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran siri HUAWEI P30, di sini, hari ini.

Meneruskan kekuatan DNA HUAWEI siri P dalam kamera dan teknologi fotografi, telefon pintar empat kamera siri P30 itu kini dievolusi dengan penderia HUAWEI SuperSpectrum, lensa SuperZoom, kamera HUAWEI Time-of-Flight (ToF) dan teknologi penstabil termaju.

Hasilnya, untuk pertama kali dalam industri menyaksikan imej yang terhasil daripada telefon pintar siri P30 Pro dan P30 mampu mencapai tahap kritikal optikal pembesaran imej dan kedalaman subjek ketara.

Bagi pasaran Malaysia, HUAWEI P30 (8GB+128GB) ditawarkan pada harga RM2,699, HUAWEI P30 Pro (8GB+256GB) berharga RM3,799, manakala edisi paling premium HUAWEI P30 Pro (8GB+512GB).

299 dibaca
Berita Harian X