Ahad, 17 Februari 2019 | 2:30pm
Pengurus Besar Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd (Daikin Malaysia), Lawrence Song Yew Beng (dua dari kanan) pada majlis pelancaran rangkaian penyaman udara Daikin R32 di Kuala Lumpur. Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.

Daikin perkenal empat model penyaman udara baharu

KUALA LUMPUR: Pengeluar jenama penyaman udara terkemuka, Daikin melancarkan siri R32 baharu merangkumi empat model iaitu FTKM, FTKH, FTKU dan FTKQ.

FTKM adalah model perdana yang memberikan keutamaan kepada penjimatan tenaga; FTKH pula adalah model premium yang menekankan aspek gaya hidup pintar manakala FTKU adalah model yang mengutamakan keselesaan pengguna dan FTKQ adalah model standard.

Barisan produk R32 baharu itu boleh mengawal kelajuan penyaman udara berkenaan secara cekap dan meningkatkan keberkesanannya.

Ia juga dilengkapi dengan ciri lain termasuklah penyejukan hibrid dan kawalan kelembapan; aliran udara pintar dengan pengesan suhu; aliran udara tiga dimensi serta fungsi pembersihan pintar.

Pengurus Besar Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd (Daikin Malaysia), Lawrence Song Yew Beng, berkata pihaknya teruja dengan pelancaran rangkaian produk R32 inverter terbaharu ini.

“Produk ini direka khusus untuk memberi manfaat kepada pengguna yang berbeza gaya hidup di samping memastikan penggunaan fungsinya yang lebih lancar.

“Penyaman udara baharu ini amat jimat tenaga dan juga mesra persekitaran di samping menawarkan fungsi yang pintar.

“Di Daikin, kami percaya dengan konsep meningkatkan gaya hidup pelanggan kami dengan memastikan semua produk kami berada pada standard terbaik dengan menggunakan teknologi Jepun yang paling baharu,” katanya.

Rangkaian penyaman udara berkenaan dilancarkan pada Konvensyen Rakan Perniagaan Daikin 2019 yang diadakan buat pertama kali di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan kehadiran lebih 500 rakan perniagaan.

Mengulas lanjut perancangan Daikin Malaysia pada tahun ini, beliau berkata baru-baru ini pihaknya sudah menaik taraf kontrak penyelenggaraan bagi menyediakan perkhidmatan selepas pemasangan yang lebih menyeluruh.

“Di samping itu, kami juga telah menubuhkan pusat panggilan berpusat yang akan bertindak sebagai pusat penyelesaian sehenti bagi semua pelanggan.

“Kami juga berhasrat untuk terus meningkatkan tawaran perniagaan menerusi inovasi produk di samping mengekalkan servis yang berkualiti bagi pelanggan serta menambahbaik pengalaman jenama secara keseluruhannya,” katanya.

Rangkaian produk baharu Daikin R32 itu akan mula berada di dalam pasaran bermula 3 Mac depan.

Berita Harian X