Sabtu, 16 Februari 2019 | 5:42pm

TMT berusaha tingkat mutu khidmat e-dagang

KUALA LUMPUR: Gedung peralatan teknologi maklumat (IT), Thunder Match Technology Sdn Bhd (TMT) sedang meneroka model Dalam Talian ke Luar Talian (O2O) yang membolehkan pelanggan memesan barangan dalam talian dan mengambil belian mereka di kedai runcitnya.

Pengasas dan Pengarah Urusan TMT, Adrian Yu, berkata pihaknya turut mendapatkan bantuan firma perunding berbilang disiplin Malaysia, CAP, bagi membantu menyediakan penyelesaian transformasi perniagaan dan berkembang dalam e-dagang.

Katanya, penyertaan gedung peralatan teknologi maklumat (IT) Thunder Match (TMT) di platform e-dagang Shopee, bagi kempen Shopee 9.9 Super Shopping Day, menunjukkan bahawa jualan dalam talian bukan setakat menyenaraikan produk, memberikan diskaun dan berdagang.

Katanya, walaupun kempen itu berjaya menjana jualan lebih RM1 juta dalam masa seminggu, TMT menghadapi kesukaran membuat penghantaran kerana tidak mempunyai sumber dan ruang bagi memenuhi keperluan jualan dalam talian.

“Kelemahan ini ketara sewaktu kempen lepas apabila terpaksa membuat penghantaran lewat dan dalam kes tertentu kami menerima pembatalan pesanan,” katanya dalam kenyataan.


Pengasas dan Pengarah Urusan TMT, Adrian Yu.

Tambahnya, pelanggan lazimnya akan mengunjungi kedai untuk membandingkan harga sebelum membuat pembelian dalam talian dan terdapat juga pelanggan di kedai yang menuntut harga yang dipaparkan dalam talian dengan merujuk kepada harga produk yang disenaraikan di Shopee.

Beliau berkata, TMT akan terus bekerjasama dengan Shopee bersempena Super Brand Day dengan mengadakan cabutan bertuah dari 17 hingga 20 Februari ini.

Pengguna boleh membeli tiket dengan harga RM1 dan berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM30,000 seperti Playstation 4 PRO, iPhone XS Max, peranti permainan oleh HyperX dan Razer dan banyak lagi.

Jaminan harga paling rendah turut ditawarkan bagi lebih 1,000 komputer riba, telefon mudah alih dan produk elektronik lain selain daripada baucar berjumlah RM300,000 yang akan diagihkan. – BERNAMA

101 dibaca
Berita Harian X