Selasa, 5 Februari 2019 | 7:53am
HONOR terus iktiraf Malaysia sebagai salah satu pasaran utama bagi jualan telefon pintar keluaran syarikat berkenaan.
HONOR View20 sudah berada di pasaran Malaysia mulai 26 Januari lalu.
WARNA telefon pintar HONOR View20 diperkenalkan pada majlis pelancaran di Paris, Perancis, baru-baru ini.

Malaysia diiktiraf pasaran utama jual telefon pintar HONOR

KUALA LUMPUR: HONOR jenama di bawah Huawei terus mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu pasaran utama bagi jualan model telefon pintar terbaharu mereka, HONOR View20 dan model lain yang bakal diperkenalkan pada tahun ini.

Presiden HONOR, George Zhao, berkata Malaysia sememangnya satu daripada pasaran utama syarikat berkenaan dan terbukti apabila negara ini menjadi antara negara terawal di dunia yang diberi kepercayaan menjual HONOR View20.

“Saya secara peribadi menyanjung tinggi HONOR Malaysia...ya benar Malaysia adalah antara pasaran utama kami termasuk membawa masuk HONOR View20 ke negara itu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran global HONOR View20 di Paris, Perancis baru-baru ini.

Zhao berkata, secara peribadi beliau sendiri pernah berkunjung ke negara ini dan merakamkan banyak gambar yang kemudiannya dijadikan contoh koleksi ketika pelancaran telefon pintar terbaharu itu.

“Saya berpeluang merakamkan banyak gambar mengenai pelbagai subjek ketika berada di sana. Saya juga merakamkan gambar pokok Hari Natal ketika di sebuah pusat beli-belah dan ditayangkan kepada hadirin pada majlis pelancaran telefon terbaharu HONOR,” katanya.


PELBAGAI ciri menarik HONOR View20 menjadi kekuatan untuk bersaing dengan jenama lain.

GEORGE Zhao ketika melancarkan HONOR View20 di Paris, Perancis, baru-baru ini.

HONOR View20 menawarkan kamera utama resolusi tinggi 48 megapixel (MP) dan dikuasakan dengan pemproses generasi baru 7nm Kirin 980 dan boleh dibeli sejak 26 Januari lalu.

Ia mempunyai spesifikasi memori 6GB dan storan 128GB. Bagi model ini, harga ditawarkan adalah RM1,999 dan pengguna mempunyai dua pilihan warna iaity Midnight Black dan Sapphire Blue.

Untuk varian kedua, telefon pintar itu akan dikuasakan dengan memori 8GB dan storan 256GB manakala warna pilihan adalah Phantom Blue versi rekaan Moschino. Harga untuk varian ini adalah RM2,499 memandangkan kapasiti storan dan memori lebih tinggi.

Zhao juga berkata, kemunculan HONOR View20 adalah tepat pada masanya kerana kumpulan sasaran mereka adalah golongan belia yang sentiasa inginkan teknologi terkini dan tercanggih bagi telefon pintar.

“Kita akan terus fokus kepada golongan belia pada tahun ini kerana mereka mempunyai pengaruh besar dalam pasaran,” katanya.

Katanya, HONOR juga akan melancarkan HONOR Magic 3 dan beberapa produk lain sepanjang tahun ini.


HONOR turut mengeluarkan jam pintar untuk golongan belia yang aktif menggunakan gajet.

544 dibaca
Berita Harian X