Ahad, 3 Februari 2019 | 12:42pm
Penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Hisaji Noda (kanan) dan Muhammad Ikram Mohd Rashid menunjukkan hasil sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) bercekapan tinggi yang antaranya mampu membantu mengatasi masalah kerosakan lampu di Universiti Malaysia Pahang (UMP, Pekan. - Foto ihsan UMP

Gabungan penyelidik Malaysia-Jepun hasilkan LED canggih

PEKAN: Gabungan penyelidik dari Malaysia dan Jepun berjaya menghasilkan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) canggih yang antara lain mampu bantu mengatasi masalah kerosakan lampu jalan yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Inovasi berkenaan dibangunkan dua penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Hisaji Noda, yang berasal dari Fukuoka, Jepun dan Muhammad Ikram Mohd Rashid yang melakukan penyelidikan sejak 2010.

Noda berkata, mereka mendapat idea menghasilkan inovasi itu kerana kebanyakan sistem LED di pasaran termasuk yang digunakan sebagai lampu jalan raya, mempunyai masalah dari segi haba iaitu cepat panas, menyebabkannya tidak bertahan lama.

Katanya, ujian dilakukan mendapati sistem LED dihasilkan mereka mampu bertahan sehingga 16 jam tanpa panas berbanding produk sama dijual di pasaran iaitu sekitar tiga ke lima jam saja yang lama-kelamaan menyebabkannya rosak.

“Ini menjimatkan pengguna kerana tidak perlu membeli banyak lampu, lampunya juga lebih terang dan selamat digunakan kerana boleh dipegang berikutan tidak mengeluarkan haba tinggi.

“Buat masa ini, kami hanya mengeluarkan model lebih kecil yang akan dijual pada harga RM250 di mana pembeli mendapat dua lampu LED serta seunit powerbank.

“Ia sesuai digunakan di pasar malam atau bagi pengembara yang minat melakukan beriadah di hutan pada waktu malam kerana ringan serta mudah dibawa,” katanya ketika ditemui BH di Fakulti Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di UMP Kampus Pekan di sini, baru-baru ini.

Katanya, pihaknya kini dalam proses membangunkan sistem LED untuk kegunaan lampu jalan raya, rumah dan sebagai lampu hiasan yang akan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

“Masalah kerosakan lampu jalan raya berlaku kerana habanya tinggi apabila penggunaan terlalu lama boleh diatasi menerusi sistem LED kami hasilkan ini.

“Ia sudah diuji di kampus UMP Pekan dan didapati bertahan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Ikram berkata pihaknya mendapat geran daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) untuk membangunkan inovasi itu selain menjalinkan kerjasama dengan Syarikat MHK Technologies Sdn Bhd yang akan memasarkannya.

“Kita berbangga dapat menghasilkan inovasi ini dan berharap dapat menyelesaikan masalah sumber cahaya di kawasan tidak mempunyai tenaga elektrik,” katanya.

607 dibaca
Berita Harian X