Isnin, 14 Januari 2019 | 11:56am
Ketua Perkhidmatan Kewangan OCBC Bank, Lim Wyson mencuba aplikasi OCBC OneLook.

OCBC Bank perkenal akses biometrik wajah

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) melancarkan aplikasi mudah alih baharunya, OCBC OneLook yang membolehkan pelanggan menyemak akaun dan baki kad serta transaksi terkini.

Aplikasi berkenaan hanya boleh digunakan oleh pelanggan yang memiliki iPhone X termasuklahlah model XS, XS Max dan XR yang dilancarkan baru-baru ini.

Menerusinya, pelanggan hanya perlu memandang skrin iPhone X untuk log masuk ke aplikasi berkenaan.

Ketua Perkhidmatan Kewangan OCBC Bank, Lim Wyson, berkata inovasi itu adalah sebahagian daripada usaha perbankan digital dan menyusuli kemudahan pengesahan cap jari OCBC OneTouch sebelum ini.

“Kami sentiasa mencari jalan untuk membawakan pengalaman perbankan yang lebih baik, menyenangkan dan terjamin kepada pelanggan kami.

“Dengan memanfaatkan teknologi pengecaman wajah Face ID Apple, pelanggan tidak perlu menggunakan kata laluan dan juga cap jari apabila menjalankan urusan perbankan harian menerusi aplikasi Perbankan Mudah Alih kami. Mereka kini hanya perlu menatap iPhone X mereka untuk mendaftar masuk,” katanya.

Untuk mengakses ciri ini, pelanggan Perbankan Mudah Alih OCBC hanya perlu menyentuh ikon OCBC OneLook pada skrin log masuk aplikasi dan menatap telefon mereka untuk mendapatkan akses.

Buat permulaan, pelanggan mesti melakukan pengaktifan sekali untuk OCBC OneLook dengan aplikasi perbankan mudah alih iPhone X mereka dengan Face ID Apple yang dikendalikan berlandaskan sistem operasi iOS12.1.

Lim berkata, OCBC Bank juga adalah bank asing pertama memperkenalkan OCBC OneTouch yang membolehkan pelanggan menyemak baki dalam akaun bank, kad dan pelaburan mereka menggunakan cap jari.

“Ciri ini diperkenalkan buat kali pertama kepada pelanggan runcit pada 2016 manakala pelanggan korporat mula menikmati kemudahan ini tahun lalu.

“Sebelum ini, kami juga memperkenalkan OCBC Money Insights, alat pengurus kewangan peribadi yang memudahkan pelanggan memantau perbelanjaan, menyediakan bajet dan menabung dengan matlamat membantu mereka memanfaatkan perancangan kewangan dalam persekitaran tanpa tunai,” katanya.

104 dibaca
Berita Harian X