Jumaat, 11 Januari 2019 | 5:12pm
Pelancaran siri SHARP AX1 AQUOS 8K NSTP di Putrajaya. Foto NSTP/Rosela Ismail.

Sharp kembali dengan siri AX1 AQUOS 8K

PUTRAJAYA: Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (SEM) kembali merancakkan pasaran elektronik tempatan dengan sasaran untuk menjual sehingga sehingga 1,000 unit televisyen terbarunya, siri AX1 AQUOS 8K yang pertama seumpamanya di ASEAN.

Pengarah Urusannya, Robert Wu, berkata siri televisyen itu dijangka mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan, khususnya bagi yang gemarkan paparan berkualiti.

“Kami memulakan pembangunan 8K ini sejak 2009 dan ini adalah masa yang ditunggu-tunggu untuk membawa produk ini ke pasaran Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran siri X1 AQUOS 8K, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan ASEAN, Sharp Corporation, Yoshihiro Hashimoto.

Panel televisyen berkenaan memaparkan resolusi 8K berkualiti tinggi dengan 33 juta piksel yang juga 16 kali lebih tinggi berbanding resolusi televisyen definisi tinggi penuh (full HD) dan empat kali lebih tinggi daripada resolusi 4K definisi tinggi ultra (ultra HD).

Ia memaparkan imej dengan resolusi lebih tinggi berbanding pandangan mata memandangkan semua model dalam siri ini menggunakan panel UV2A buatan Jepun, manakala bagi saiz 80 inci, menggunakan panel IGZO.

Siri itu turut dilengkapi ciri Eilex Prism yang menghasilkan kualiti bunyi lebih baik.

Ia ditawarkan pada harga RM73,999 bagi saiz 80 inci, manakala saiz 70 inci (RM36,999) dan 60 inci (RM25,999).

Dalam pada itu, Wu berkata sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjelma, syarikat turut mengadakan tawaran istimewa yang bermula semalam hingga 15 Januari ini di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya dengan kerjasama gedung barangan kediaman, Harvey Norman.

Dengan setiap pembelian televisyen siri AX1 AQUOS 8K, pelanggan akan menerima Dolby Atmos Sound Bar secara percuma.

Malah, pembelian televisyen 60 inci Android 4K membolehkan pelanggan membawa pulang satu lagi televisyen 40 inci secara percuma.

98 dibaca
Berita Harian X