Khamis, 10 Januari 2019 | 9:23pm
Majlis memeterai perjanjian persefahaman Maxx ‘N Go dan Go Exim. Foto NSTP/Amirudin Sahib.

Maxx 'N Go sedia khidmat penyelenggaraan kereta

KUALA LUMPUR: Aplikasi mudah alih penyedia perkhidmatan penjagaan kereta, Maxx ‘N Go menyasar untuk mencapai sejuta muat turun pengguna di pasaran Asia Tenggara menjelang 2020.

Ketua Eksekutifnya, Patrick Tam berkata pada masa ini, jumlah muat turun aplikasi berkenaan di negara ini adalah sekitar 400,000.

Beliau berkata, Maxx ‘N Go akan mula mengembangkan operasi di rantau ini dengan menembusi pasaran Indonesia dan Thailand pada suku pertama tahun ini.

“Bagi mencapai sasaran berkenaan, kami menjalin kerjasama strategik dengan Go Exim dengan menyediakan perkhidmatan mudah alih servis selepas jualan setempat bagi kereta jenama Haval dan Bordward di rantau Asia Tenggara.

“Kerjasama berkenaan juga bertujuan memberi kemudahan untuk mendapatkan servis penyelenggaraan kenderaan termasuklah penukaran minyak enjin, pemeriksaan biasa dan perkhidmatan selepas jualan yang lain,” katanya selepas memeterai perjanjian persefahaman dengan Go Exim.

Go Exim adaah pengedar sah dan eksklusif kenderaan Haval di Asia Tenggara.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Teknikal Maxx ‘N Go, Tengku Djan Ley; Pengarah Eksekutif Go Exim, Farok Maasom dan Pengarah Pembangunan Antarabangsa Go Auto, Deric Chong.

Mengulas lanjut, Tam berkata kerjasama berkenaan juga bakal dikembangkan lagi ke negara lain seperti Myanmar dan sebagainya.

“Perkongsian strategik ini bukan saja menawarkan perkhidmatan kemudahan penyelenggaraan kereta di lokasi untuk pemilik Haval dan Borgward malah Maxx ‘N Go juga akan menyelaraskan prosedur standard kedua-dua jenama berkenaan.’

“Ini membolehkan pemilik menikmati perkhidmatan penyelenggaraan kereta yang cepat namun masih dilindungi jaminan,” katanya.

Maxx ‘N Go adalah aplikasi mudah alih yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kereta dan membolehkan pengguna menetapkan lokasi dan memilih masa yang diingini.

Perkhidmatan Maxx ‘N Go kini boleh didapati di semua bandar utama di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

174 dibaca
Berita Harian X