Khamis, 10 Januari 2019 | 3:06pm
Sebahagian pelanggan menggunakan aplikasi pembayaran tanpa tunai Boost di cawangan Watsons Watsons Pavilion Kuala Lumpur. Foto NSTP/Aswadi Alias.

Boost sasar lima juta pengguna tahun ini

KUALA LUMPUR: Boost, aplikasi dompet elektronik (e-dompet) yang dibangunkan oleh Axiata Digital, menyasarkan pendaftaran pengguna melebihi lima juta orang tahun ini berbanding 3.5 juta orang pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd Khairil Abdullah, berkata syarikat akan melaksanakan beberapa langkah strategik untuk menarik lebih ramai pengguna Boost seperti menawarkan lebih banyak inovasi produk dan kerjasama bersama jenama terkemuka.

“Untuk inovasi produk, kami berharap dapat memperkenalkan satu atau lebih ciri baharu setiap bulan bagi memudahkan pengalaman penggunaan e-dompet ini.

“Buat masa ini, kami mempunyai 60,000 peniaga dan melihat untuk menjalin usaha sama dengan jenama utama di pasaran seterusnya mencapai 100,000 peniaga pada hujung tahun ini.

“Apa yang penting adalah untuk memastikan Boost dapat digunakan secara lebih meluas kerana ini dapat menyumbang untuk meningkatkan jumlah penggunanya,” katanya ketika ditemui NSTP selepas majlis pengumuman kerjasama antara Boost dan Watsons Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh dan Pengarah Pelanggannya, Danny Hoh.

Mohd Khairil berkata, menerusi kerjasama dengan Watsons, aplikasi e-dompet Boost kini boleh digunakan di lebih 450 lokasi peruncit kecantikan dan kesihatan itu di seluruh Malaysia.

“Ia juga sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan masyarakat tanpa tunai dan pada masa sama turut menyediakan kemudahan bagi melakukan transaksi harian yang lain.

“Malah, kami juga berharap dapat mengekalkan kedudukan sebagai pengendali e-dompet nombor satu dalam pasaran untuk segmen berkenaan pada tahun ini,” katanya.

Mengulas kehadiran peserta e-dompet lain di pasaran ketika ini, beliau berkata ia menjadi kelebihan kepada Boost kerana peningkatan produk seumpama itu dapat mewujudkan ekosistem tanpa tunai.

“Pesaing utama kepada kami adalah tunai, kerana usaha kami adalah untuk menarik lebih ramai pengguna untuk menggunakan aplikasi e-dompet,” katanya.

132 dibaca
Berita Harian X