Khamis, 3 Januari 2019 | 12:22pm
Ketua Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan.

Digi perkenal kad prabayar digital

KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) bekerjasama dengan ManagePay Systems Bhd (MPay) dan Mastercard menawarkan kaedah pembayaran baharu, bagi memenuhi keperluan komuniti dalam talian di negara ini yang sentiasa berubah pantas dan berkembang pesat.

Ketua Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan, berkata kerjasama membabitkan pembangunan kad prabayar digital, yang akan mula berada di pasaran pada separuh pertama tahun ini.

Katanya, kad prabayar digital itu dapat memberi lebih akses kepada generasi muda di Malaysia untuk melakukan pembayaran digital secara atas talian dan aplikasi merentasi peniaga yang menerima Mastercard di seluruh dunia .

“Kami masih melihat kebanyakkan urus niaga e-dagang masih terjadi dengan membabitkan wang tunai. Jadi, kami ingin memainkan peranan dengan membantu orang ramai untuk melakukan transaksi tanpa tunai dan lebih penting lagi, menawarkan lebih kemudahan hanya dengan peranti mereka.

“Ia juga memberikan rakyat negara ini dengan lebih pilihan untuk membayar dan membeli di mana sahaja di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kad prabayar digital itu direka khusus bagi mereka yang memilih untuk melakukan transaksi secara atas talian ketika membuat pembelian.

Pelanggan boleh mendaftar, mengaktifkan dan menggunakan kad itu dalam aplikasi mudah alih tunggal menjadikan pengalaman digital lebih mudah dan selamat untuk digunakan.

Praveen berkata, usaha sama strategik itu juga adalah antara inisiatif Digi untuk tampil lebih berinovatif bagi menyediakan pengalaman digital kepada 11.8 juta pelanggannya.

“Ini membuktikan syarikat terus menghasilkan inovasi merentasi perkhidmatan teras dengan meneroka segmen pembayaran yang akan membawa manfaat pembayaran tanpa tunai kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Tinjauan Beli-Belah Dalam Talian Mastercard, kira-kira 89 peratus rakyat Malaysia membeli-belah secara atas talian akan membuat sekurang-kurangnya satu pembelian pada penghujung 2017, berbanding 81 peratus pada 2015.

Berita Harian X