Khamis, 29 November 2018 | 5:46pm
Kerjasama WeChat Pay Malaysia dan Petron Malaysia menggunakan perkhidmatan e-dompet. -Foto NSTP/ AZIAH AZMEE

Pembayaran guna WeChat Pay di stesen Petron

PETALING JAYA: Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd (Petron Malaysia) menjalin kerjasama strategik dengan WeChat Pay Malaysia bagi membolehkan pengguna menggunakan dompet elektronik (e-dompet) untuk membuat pembayaran di stesen minyak Petron.

Melalui kerjasama itu, pengguna berpeluang untuk menggunakan e-dompet WeChat Pay Malaysia bagi melakukan transaksi tanpa tunai dan kad di hampir 200 stesen minyak Petron seluruh negara.

Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia, Choong Kum Choy berkata pihaknya yakin pelanggan akan menikmati pengalaman baharu e-dompet yang lebih mudah dan selamat melalui pengenalan kemudahan terbaru itu.

"Kami menyasarkan 90 peratus daripada lebih 600 stesen minyak Petron ini akan dilengkapi dengan kemudahan pembayaran tanpa tunai WeChat Pay menjelang hujung tahun ini," katanya pada majlis pelancaran program kerjasama antara Petron Malaysia dan WeChat Pay Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pegawai Eksekutif WeChat Pay Malaysia, Jason Siew.

Kerjasama kedua-dua pihak menyaksikan Petron menjadi stesen minyak pertama di Malaysia yang melaksanakan dan menawarkan pembayaran e-dompet kepada pengguna.

Inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada usaha Petron Malaysia dan WeChat Pay Malaysia untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, yang mana pengguna hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk membuat transaksi tanpa tunai dan kad.

Sementara itu, Siew berkata pihaknya percaya kerjasama strategik itu akan membantu syarikat memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan dan menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai di Malaysia.  

"Kami akan terus memperluaskan kerjasama WeChat Pay secara strategik untuk menawarkan fleksibiliti, akses dan pilihan lebih baik kepada pelanggan sambil membolehkan pengalaman pembayaran yang lebih mudah dan selamat," katanya.

WeChat Pay adalah salah satu kaedah pembayaran yang paling banyak digunakan di China dan semakin popular di Malaysia.

Berita Harian X