Isnin, 12 November 2018 | 8:45pm

GTR lancar pusat kawalan digital pertama di Malaysia

SEPANG: Pengendali perkhidmatan darat, Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) melancarkan pusat kawalan digital pertama di Malaysia bagi perkhidmatan pengendalian darat untuk AirAsia Bhd (AirAsia) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sistem itu membolehkan GTR menumpukan maklumat digital dalam masa sebenar bagi pelepasan penumpang, penyelarasan dan pengendalian bagasi melalui papan skrin digital untuk pelepasan pesawat dalam tempoh 25 minit.

“Dalam proses pendigitalan operasi ini, petugas akan menggunakan telefon pintar untuk melancarkan proses di pintu pelepasan.

“Ia membolehkan mereka memeriksa penumpang dengan mudah sambil memeriksa proses pelepasan dalam masa sebenar dengan cekap lagi tepat,” katanya pada majlis pelancaran pusat kawalan digital di klia2 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Kevin Chin.

Dalam pada itu, Tony berkata, telefon pintar yang sama turut digunakan bagi penyelarasan bagasi dan e-bacaan semula untuk menjadikan pengendalian semua bagasi dan beban kargo lebih teratur.

“Proses ini akan meningkatkan aspek keselamatan dengan memastikan 100 peratus ketepatan berat pesawat dan keseimbangan bacaan untuk penerbangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kakitangan GTR juga akan menggunakan peranti mudah alih bagi melaporkan diri dan menerima tugasan mereka secara automatik, seterusnya menjimatkan masa untuk melaksanakan tugasan tanpa perlu melaporkan diri ke pejabat.

Katanya, antara ciri utama lain bagi sistem itu ialah ruang latihan maya dengan enam modul membabitkan pengendalian kargo, tandas, perkhidmatan air, pendingin hawa, unit kuasa darat dan arah pesawat.

252 dibaca
ANTHONY Loke bersalam dengan Tony Fernandes selepas melancarkan pusat kawalan digital pertama di Malaysia di klia2, Sepang. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X