Selasa, 23 Oktober 2018 | 4:44pm

Digi tambah kuota pelan Home Broadband

KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) meningkatkan kapasiti data pelan Digi Home Broadband sehingga 50 peratus pada harga serendah RM45 sebulan.

Bagi pelan Broadband Bulanan 45, jumlah kuota ditingkatkan dari 15GB kepada 25GB, manakala bagi pelan Broadband Bulanan 65 dari 35GB kepada 50GB dan pelan Broadband Bulanan 105, dari 75GB kepada 100GB.

Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat, berkata bagi pelanggan Digi Postpaid sedia ada, Digi memberikan diskaun seumur hidup sebanyak RM5 atau RM10 apabila mereka mendaftar untuk Digi Home Broadband, memberikan akses internet bermula dari RM40 sebulan.

“Peningkatan kuota data ini akan berkuat kuasa pada penyata seterusnya bagi pelanggan sedia ada manakala yang baru mendaftar, mereka akan terus dapat menikmati peningkatan data baharu ini.

“Digi komited meningkatkan penggunaan internet dengan memperkenalkan pelbagai perkhidmatan sambungan yang mampu dimiliki.

“Pelan internet ini pada dasarnya menawarkan pelanggan 1GB data serendah RM1,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loh berkata, pelanggan akan menikmati kelajuan internet konsisten sekurang-kurangnya 10Mbps untuk 4G LTE, dan 20 Mbps untuk 4G LTE-A.

Beliau berkata, kumpulan akan terus meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan dalam menyokong peningkatan permintaan data dari pelanggan.

Katanya, bagi tahun lalu saja, pangkalan data Digi menyokong hampir 150 peratus pertumbuhan trafik data daripada lebih setengah juta pengguna internet tambahan.

32 dibaca
Berita Harian X