Jumaat, 28 September 2018 | 2:56pm

11street, Boost jalin usaha sama tanpa tunai

KUALA LUMPUR: 11street, pasaran dalam talian terkemuka di Malaysia terus memperkukuhkan kedudukannya di negara ini menerusi penembusan pasaran pembayaran tanpa tunai dengan kerjasama dengan Boost, iaitu dompet gaya hidup mudah alih.

Kerjasama itu adalah pertama seumpamanya dalam perkhidmatan e-Dompet yang membolehkan pelanggan membayar menerusi laman web atau mudah alih dengan lebih mudah serta selamat melalui kod QR dan kemasukan nombor PIN pada platform eDagang.

Ketua Pegawai Eksekutif 11street, Cheong Chia Chou, berkata kerjasama itu adalah antara usaha syarikat untuk menjadi salah satu pasaran dalam talian di Malaysia yang menggabungkan kedua-dua aplikasi mudah alih (mobil) dan web untuk pembayaran menerusi eDompet.

“Kami sentiasa berusaha untuk berubah seiring dengan perkembangan teknologi digital dunia bagi mempertingkatkan dan memperbaiki kualiti pengalaman membeli-belah dalam talian demi pelanggan, selain menawarkan tawaran produk serta harga lebih menarik.

“Menerusi kerjasama dengan Boost, kami berharap ia memberikan pengalaman membeli belah terbaik kepada pelanggan kami,” katanya pada majlis jalinan kerjasama 11street dan Boost di sini, hari ini.

Bagi mengukuhkan jalinan kerjasama itu, 11street dan Boost juga menyepadukan ‘storefront’ 11street dengan aplikasi Boost.

Menerusi hanya satu klik pada menu ‘Online Shopping’ dalam aplikasi Boost, pengguna Boost boleh terus mengakses portal 11street.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin, berkata sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memacu pembangunan Malaysia sebagai negara penggiat utama teknologi digital, kerjasama strategik antara Boost dan 11street diharap dapat menawarkan pelanggan mereka pengalaman membeli-belah lebih baik.

“Pelanggan kami kini boleh membeli-belah dengan mudah dan pantas tanpa perlu mengakses pelbagai aplikasi berbeza,” katanya.

Sempena kerjasama itu, 11street dan Boost juga menawarkan ‘Boosted Daily Deals’ untuk sejumlah barangan eksklusif bermula semalam (28 September) yang mana menawarkan pelbagai barangan menarik termasuk televisyen pintar LED, telefon mudah alih dan pembesar suara.

Selain itu, turut dilancarkan Kempen ‘Win A Car’ bermula 28 September hingga 30 November 2018, yang mana pelanggan berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM86,000 termasuk hadiah utama sebuah kereta MyVi baharu.

11street mula ditubuhkan di Korea pada 2008 dan kini menjadi salah satu daripada penyedia pasaran e-dagangan terkemuka dunia dengan 400,000 penjual yang berkhidmat kepada lebih 30 juta pelanggan seluruh dunia.

Sementara itu, Boost yang dilancarkan pada Januari 2017 kini memiliki lebih tiga juta pengguna.

Berita Harian X