Isnin, 4 Jun 2018 | 2:29pm
PRESIDEN MPT, Alijus Sipil menyampaikan cenderahati kepada Pengurus Cawangan Sabah MobilityOne Sdn Bhd, Awang Gani Yunus pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pembayaran Elektronik MPTpay dan MobilityMPT di Tawau, hari ini. - Foto Nasrawati Syarifuddin

MPT perkenal dua aplikasi mudah alih

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) memperkenalkan aplikasi mudah alih MPTpay dan MobilityMPT untuk kemudahan penduduk di daerah ini melakukan pembayaran di mana sahaja kepada majlis itu.

Presiden MPT, Alijus Sipil, berkata bagi aplikasi MPTpay yang diurus tadbir oleh Syarikat Menggaris IT Sdn Bhd, ia boleh diakses bila-bila masa yang mana orang awam boleh membuat lapan jenis pembayaran kepada MPT.

Katanya, aplikasi itu boleh dimuat turun melalui laman web rasmi MPT, Google Playstore, Apple App Store dan melalui imbasan kod QR.

"Lapan jenis pembayaran atau pembaharuan yang boleh dilakukan pelanggan menggunakan aplikasi itu iaitu cukai pintu, tanah, lesen operasi, lesen pasar, lesen berjaja, permit iklan, permit kaki lima dan kompaun.

"Bagi pembaharuan lesen perniagaan pula, masih menggunakan sistem manual iaitu melalui kaunter disediakan di MPT. Bagaimanapun, kami akan melakukan penambahbaikan supaya pembaharuan lesen dapat dilakukan melalui MPTpay," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pembayaran Elektronik MPTpay dan MobilityMPT yang turut dihadiri Pengarah Urusan Menggaris IT Sdn Bhd, Christoper Chung dan Pengurus Cawangan Sabah MobilityOne Sdn Bhd, Awang Gani Yunus di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Alijus berkata, produk MobilityMPT yang dibangunkan MobilityOne Sdn Bhd pula memainkan peranan sebagai kaunter bergerak MPT.

Beliau berkata, kakitangan MPT sendiri akan bergerak ke premis untuk mengutip bayaran dan pelanggan boleh memilih sama ada membuat bayaran menggunakan kad debit atau kad kredit.

"Kaedah kaunter bergerak ini memudahkan pelanggan daripada berbaris di kaunter MPT yang mengambil masa lama untuk menunggu giliran. Ia juga bertujuan supaya kakitangan MPT dapat memberi ingatan mesra kepada pelanggan untuk membuat pembayaran," katanya.

117 dibaca
Berita Harian X