Khamis, 2 November 2017 | 4:20pm
DARI kiri, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM, Professor Dr Azlan Abd Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin dan Ketua Pegawai Korporat Kumpulan Axiata, Idham Nawawi menunjukkan aplikasi telefon pintar Boost it@ UTM sempena majlis menandatangani perjanjian strategik UTM ke Arah Tanpa Tunai di Menara Axiata, KL Sentral, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

UTM universiti pertama tanpa tunai

KUALA LUMPUR: Boost, aplikasi dompet elektronik (e-dompet) yang dibangunkan oleh Axiata Digital memeterai perjanjian strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mewujudkan kampus pertama tanpa tunai di negara ini.

Di bawah kerjasama itu, seramai 25,000 pelajar di UTM Kuala Lumpur dan Skudai boleh menggunakan aplikasi e-dompet berkenaan sebagai kaedah pembayaran bagi semua urus niaga pembelian dalam kampus.

Perjanjian dimeterai oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Professor Dr Azlan Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin serta Ketua Pegawai Eksekutif Zen Trillion Sdn Bhd, Dick Hilmi Hassan.

Mengulas kerjasama, Dr Azlan berkata inisiatif itu menawarkan pelajar gaya hidup digital yang lebih menyeronokkan dengan membenarkan pembelian yang lebih mudah, pemindahan wang, tambah nilai dan cenderahati digital.

"Selari dengan misi UTM untuk dikenali sebagai pusat akademik dan teknologi bertaraf dunia, kami mahu mengubah pendekatan kepada perkhidmatan digital.

"Kerjasama ini adalah permulaan bagi inisiatif berkenaan, yang mana kami secara aktif sedang menuju ke arah kampus digital sepenuhnya," katanya pada majlis memeterai kerjasama UTM Ke Arah Tanpa Tunai di sini, hari ini.

Boost adalah aplikasi yang merevolusi cara pengguna berurus niaga secara digital dan mudah alih.

Menggabungkan keperluan gaya hidup pengguna dan teknologi digital canggih, aplikasi itu menawarkan urus niaga tanpa tunai lebih mudah, pantas, selamat serta pengalaman lebih memuaskan untuk pengguna.

Pengguna Boost boleh melakukan pembayaran di mana-mana peniaga terpilih sama ada di cawangan fizikal atau dalam talian dari peniaga pasar malam sehinggalah pembelian di trak makanan, dengan hanya menggunakan aplikasi berkenaan.

Sementara itu, Tiffin berkata pengalaman dan kepakaran sebagai peneraju teknologi digital di Asia, membolehkan Boost kini di hadapan dalam menyokong digital ekonomi dan antara e-dompet yang semakin berkembang pesat di pasaran.

"Kerjasama dengan UTM bukan sahaja kerjasama biasa, tetapi mencerminkan gaya hidup baharu rakyat Malaysia dalam menuju ke arah dunia digital," katanya.

Info

* Pengguna boleh memuat aplikasi Boost menerusi Play Store dan App Store

Berita Harian X