Jumaat, 8 November 2019 | 8:16pm

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit susut daripada aliran meningkat semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berikutan sentimen positif mengenai rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang mengubah minat pelabur kepada mata wang selamat, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1310/1360 berbanding dolar AS daripada 4.1225/1255 pada Khamis.

Peniaga berkata, dolar AS mendapat semula momentumnya berikutan berita mengenai China dan AS bersetuju untuk mengurangkan tarif sebagai sebahagian daripada persepakatan awal yang mempunyai potensi untuk menamatkan perang perdagangan mereka.

Bagaimanapun, laporan berita menyatakan masih terdapat keraguan mengenai perjanjian perdagangan berikutan pegawai dalam dan luar White House tidak berpuas hati dengan idea untuk melepaskan tarif punitif.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0377/0418 daripada 3.0382/0408 pada Khamis dan naik berbanding yen kepada 3.7774/7830 daripada 3.7797/7828.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.2906/2986 daripada 5.3036/3095 dan menokok berbanding euro kepada 4.5594/5666 daripada 4.5661/5706.

-- BERNAMA

Berita Harian X