Jumaat, 8 November 2019 | 10:14am

Harga minyak mentah susut

TOKYO: Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) susut pada Jumaat di tengah-tengah harapan yang pudar bahawa perjanjian yang akan mengakhiri kemelut perang dagang antara Washington dan Beijing akan ditandatangani dalam masa terdekat.

Penurunan harga itu juga dipengaruhi faktor peningkatan inventori minyak mentah di AS.

Minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) susut 15 cents atau 0.2 peratus pada AS$57 setong. Kontrak berkenaan mencatat peningkatan sebanyak 1.4 peratus pada Khamis.

Sementara itu, penanda aras global, minyak mentah Brent masih belum didagangkan selepas mencatat 0.9 peratus keuntungan dalam sesi terdahulu.

Perang dagang antara dua ekonomi terbesar dunia itu telah melembabkan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia dan membuatkan penganalisis merendahkan unjuran bagi permintaan minyak.

Langkah itu menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlakunya krisis bekalan pada 2020. - REUTERS

Berita Harian X