Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:49am

Bursa Malaysia kekal bercampur-campur

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kekal bercampur-campur pada pertengahan pagi ini selepas aktiviti pemburuan saham murah dan pengambilan untung, walaupun prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik, kata peniaga.

Pada 11.01 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.38 mata kepada 1,551.61 daripada 1,551.23 Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.53 mata lebih rendah pada 1,550.7.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter turun mengatasi kaunter naik sebanyak 279 berbanding 261 dengan 990 kaunter tidak berubah, manakala 481 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Sejumlah 1.02 bilion saham bertukar tangan bernilai RM463.31 juta.

Maybank IB Research dalam satu nota berkata, sentimen di pasaran AS bertambah baik selepas laporan menunjukkan bahawa China mungkin bersedia menerima sebahagian daripada perjanjian perdagangan sekiranya AS tidak mengenakan tarif lanjut.

"Secara teknikalnya, kami menjangkakan bahawa FBMKLCI berlegar antara 1,540 dan 1,570 dan sokongan pada 1,550 dan 1,539," katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank dan Sime Darby Plantation naik satu sen setiap satu masing-masing kepada RM8.39 dan RM4.66, manakala Tenaga dan PBBank meningkat empat sen setiap satu masing-masing kepada RM13.64 dan RM19.16.

Sementara itu, PChem turun dua sen kepada RM7.18. - BERNAMA

Berita Harian X