Rabu, 9 Oktober 2019 | 9:55am

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah hari ini menjejaki prestasi lemah semalaman di Wall Street.

Pada 9.14 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.12 mata kepada 1,553.67 daripada 1,558.79 Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 4.06 mata lebih rendah pada 1,554.73.

Kaunter turun mengatasi kaunter naik sebanyak 163 berbanding 99 dengan 1,144 kaunter tidak berubah, 605 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Sejumlah 551.74 juta saham bertukar tangan bernilai RM189.58 juta.

Public Investment Bank Bhd, berkata saham menyaksikan sesi penjual sebelum pasaran ditutup susulan keputusan pentadbiran Trump untuk mengenakan sekatan visa ke atas pegawai kerajaan China berkaitan layanan terhadap tahanan Uighurs di barat China.

Ini menyemarakkan kembali kebimbangan berhubung ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia itu.

"Kejatuhan ketara pada lewat sesi itu menyaksikan S&P 500 ditutup 1.6 peratus lebih rendah, dan Dow Jones Industrial Average merosot 1.2 peratus," katanya dalam satu nota.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, CIMB dan Petronas Gas turun dua sen setiap satu masing-masing kepada RM8.43, RM4.88 dan RM16.28 manakala PBBank dan IHH masing-masing mendatar kepada RM19.30 dan RM5.67.

Antara yang paling aktif, Bumi Armada dan Iskandar Waterfront City meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada 35.5 sen dan 92 sen manakala Sanichi, MUI Properties dan Sumatec tidak berubah masing-masing pada lima sen, 17 sen dan satu sen. - BERNAMA

Berita Harian X