Rabu, 25 September 2019 | 7:48am

Wall Street ditutup rendah

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup rendah dalam dagangan yang tidak menentu, menyaksikan S&P 500 mencatat penurunan harian terbesar dalam sebulan.

Ia susulan sokongan bagi usaha memecat Presiden Donald Trump meraih momentum dalam kalangan perwakilan Demokrat di Kongres.

Sejurus loceng dibunyikan, Speaker Demokrat Nancy Pelosi, seperti yang dijangkakan, berkata Dewan Perwakilan akan melancarkan siasatan secara formal berhubung sama ada Trump harus dipecat, mengatakan bahawa tindakan yang dilakukan presiden republik itu melanggar Perlembagaan AS.

Siasatan itu akan mengkaji sama ada Trump meminta bantuan Ukraine untuk memburukkan bekas Naib Presiden Joe Biden, pesaing pencalonan presiden 2020.

Sokongan dalam kalangan Demokrat untuk memulakan proses pemecatan meningkat selepas berita berkaitan pertuduhan itu keluar.

Tekanan selanjutnya ke atas Wall Street ialah data keyakinan pengguna yang mengecewakan menggariskan kebimbangan berhubung kesan ekonomi daripada perang perdagangan AS-China yang berpanjangan.

Saham menokok buat seketika bagi mengimbangi penyusutan pada dagangan petang selepas Trump, dalam ciapan berkata, pentadbirannya akan mengeluarkan transkrip lengkap panggilan telefon dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy, individu yang berada di tengah-tengah kontroversi itu.

Beliau berkata, transkrip itu akan menunjukkan bahawa panggilan itu "sesuai sepenuhnya," bahawa beliau tidak menekan Zelenskiy untuk menyiasat Biden, dan tidak ada bantuan AS sebagai pertukaran bagi siasatan itu.

Dow Jones Industrial Average susut 142.22 mata atau 0.53 peratus kepada 26,807.77.

S&P 500 turun 25.18 mata atau 0.84 peratus ​​kepada 2,966.6.

Nasdaq Composite turun 118.84 mata atau 1.46 peratus kepada 7,993.63.

Sejumlah 7.68 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.2 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X