Selasa, 17 September 2019 | 7:42pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi didorong minat belian

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan awal pada saat-saat terakhir dagangan untuk ditutup tinggi hari ini, didorong minat belian di kaunter berkaitan indeks terpilih dalam keadaan perkembangan luaran yang lemah.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada paras 1,604.30 meningkat 3.05 mata daripada 1,601.25 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas, selepas bergerak antara 1,597.09 dan 1,609.97 sepanjang hari ini.

Indeks itu dibuka 8.67 mata lebih tinggi kepada 1,609.92.

Pasaran ditutup pada Isnin susulan cuti umum sempena Hari Malaysia.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 510 berbanding 382 manakala 377 kaunter tidak berubah, 710 kaunter tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.73 bilion unit bernilai RM2.18 bilion.

Peniaga berkata serangan ke atas loji pemprosesan petroleum terbesar dunia di Arab Saudi pada hujung minggu, telah memberi manfaat kepada saham tenaga di Bursa Malaysia, dengan kebanyakan saham itu sentiasa meningkat.

Ia termasuk Petron Malaysia Refining, Petronas Gas, Petronas Dagangan, Hibiscus Petroleum, Alam Maritim, dan KNM.

Maybank Investment Bank Bhd pula mengekalkan saranan positif ke atas industri minyak dan gas, dengan berkata insiden terbabit telah menjejaskan enam peratus pengeluaran minyak dunia dan 50 peratus output Arab Saudi, dan bersamaan lima tahun pertumbuhan permintaan minyak global.

“Serangan itu lebih buruk berbanding kejutan bekalan sebelum ini iaitu yang berlaku pada tahun 70-an dan boleh meningkatkan ketegangan yang sedia berlaku di Timur Tengah.

“Gangguan tersebut mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran minyak, dengan harga minyak mentah dijangka melonjak lebih AS$80 setong buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, saham Asia diniagakan kebanyakannya rendah memandangkan pelabur turut berhati-hati terhadap risiko geopolitik.

Pelabur juga mengambil langkah berwaspada menjelangnya hasil mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat esok dengan banyak pihak menjangkakan bank pusat itu mengurangkan kadar faedah selain menandakan hala tuju dasar masa depan.

Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura turun 0.66 peratus kepada 3,182.69, Nikkei Jepun meningkat 0.06 peratus kepada 22,001.32 dan Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.23 peratus kepada 26,790.24.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.90, TNB turun 16 sen kepada RM13.62, Public Bank menambah dua sen kepada RM20.16, Petronas Chemicals melonjak 36 sen kepada RM7.77 dan Petronas Gas naik 18 sen kepada RM16.42.

Indeks FBM Emas naik 10.36 mata kepada 11,321.69, Indeks FBMT 100 menokok 9.17 mata kepada 11,155.23 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 31.66 mata kepada 11,863.76.

FBM Ace turun 24.04 mata kepada 4,532.97 dan FBM 70 kurang 38.44 mata kepada 13,979.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 16.43 mata kepada 15,555.32, Indeks Perladangan naik 9.02 mata kepada 6,834.19, dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.50 mata kepada 155.14.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.92 bilion saham bernilai RM2.02 bilion daripada 1.28 bilion saham bernilai RM1.34 bilion pada Jumaat lepas.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 534.27 juta unit bernilai RM108.77 juta berbanding 398 juta unit bernilai RM76.18 juta pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 272.25 juta saham bernilai RM54.10 juta daripada 424.85 juta saham bernilai RM89.07 juta sebelumnya.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 185.93 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (189.99 juta), pembinaan (58.67 juta), teknologi (101.87 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.22 juta), hartanah (124.77 juta), perladangan (15.74 juta), REIT (13.76 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (934.64 juta), penjagaan kesihatan (22.14 juta), telekomunikasi dan media (147.43 juta), pengangkutan dan logistik (48.05 juta) serta utiliti (20.07 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X