Khamis, 12 September 2019 | 10:59am

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjejaki yuan China yang lebih kukuh berbanding dolar AS, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, ringgit naik kepada 4.1720/1770 berbanding dolar AS daripada 4.1780/1810, semalam.

Bagaimanapun seorang peniaga berkata, keuntungannya terhad kerana kebanyakan pelabur berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (MPC), hari ini, serta pengumuman pengecualian Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) FTSE Russell.

“Pengumuman pengecualian Russell Bond semakin hampir sehingga ada yang menggantungkan dagangan. Bagaimanapun, saya tidak fikir Russell akan mengecualikan bon Malaysia,” kata seorang peniaga.

Unit tempatan itu turut diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0276/0323 daripada 3.0295/0328 pada Rabu dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.8594/8651 daripada 3.8786/8824.

Ringgit turut mengukuh berbanding pound British kepada 5.1449/1515 daripada 5.1648/1702 dan naik berbanding euro kepada 4.5942/6005 daripada 4.6033/6079.

-- BERNAMA

119 dibaca
Berita Harian X